AHLAN WASAHLAN

Saturday, 11 August 2012

Kenapa Aku Malas Solat.??



"Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang."

"Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan... Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?"

"Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I...I just don't get it...Please, help me..."

***

Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.

Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah. Syahadatain ada dalam solat.

Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada waktu yang telah ditetapkan.

Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat. Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.

Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan. Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan dan minum termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan sengaja selain daripada Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf membatalkan solat. Hikmah puasa ada dalam solat.

Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga ada dalam solat.

Subhanallah!

***


"Aku tak solat tapi aku masih berbuat baik terhadap orang lain?"

Solat amalan pertama yang akan dihisab Allah.

Abu Hurairah berkata : "Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: " Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu"
(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)

Andai anda melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing jiran tetapi apabila pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik tak? Begitulah kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri sendiri dengan Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu?

Anda baik dengan manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan sahaja kebaikan itu dengan solat yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan hati. Terutama menyemai rasa ikhlas dalam melakukan amalan. Bimbang andai kebaikan selama ini yang dilakukan mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia sedangkan solat ditinggal di belakang manusia.

Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang lain tersangkut waktu hari perhitungan.

Wahai hamba... Solatlah!

"Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman" "
(Surah An-Nisa' ayat 103)

***

"Kenapa aku jadi macam ni?" Kita tahu kita salah, tapi sukar pula untuk berubah. Rasa berat untuk nak mula.. Kenapa ya?

Satu. Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.

Dua. Sebab tak ingat mati.

Tiga. Sebab seronok hidup dekat dunia.

Empat. Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.

Lima. Sebab lalai dengan kemewahan.

Enam. Sebab kurang ilmu agama.

Tujuh. Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.

Lapan. Sebab malas mujahadah.

Sembilan. Sebab solat dianggap sekadar ritual yang tidak dihayati.

Sepuluh. Anda bagilah sebab sendiri. Diri sendiri lebih kenal diri sendiri. Tanya diri sendiri kenapa aku jadi begini.

***

"Baik. Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali semula?"

Sebagai sesama muslim, kita sentiasa perlu diingatkan kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surah Adz-Dzaariyat ayat 56. Allah berfirman yang bermaksud:-

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"

Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah lima perkara tersebut? Mesti semua sudah maklum kan...

Tak salah nak dengar lagu 'You're Beautiful' Bruno Mars. Tak ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah anda dengar lagu itu, saya boleh tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga pesanan Rasulullah yang diabadikan dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan.

"Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati"
(Riwayat Hakim dan al-Baihaqi )

Kalau kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu kereta besar. Mahu rumah besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang proses duit palsu Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi? Bukan tentang soal hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat sana.

Ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata masih bisa dicelik. Udara masih bisa dihirup. Nafas masih lagi terhela. "Oh, hidup lagi aku ni rupanya. Alhamdulillah".

Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak bisa lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru, laptop baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang. Allah langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya memakan masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?

Syukur kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka cantik. Mata menarik. Hidung masih berfungsi. Mulut masih bisa menelan. Tiada anggota yang cacat. Ada orang tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi menggagahkan diri berjalan kaki ke masjid. Malu kita.

Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya pada dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang ada ini sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu dihisab nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apakah dapat diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir semua itu?



Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat pandangan. Diri mula panik. Tidak bisa melihat alam lagi. Tidak bisa menatap wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar. Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas mengambil wuduk.

Andaikan otot anda yang digunakan untuk menulis, menaip dan bermain. Suatu ketika Allah menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot yang tidak berfungsi. Saraf mula terjejas. Tiada lagi bisa menggerakkan jemari seperti dulu. Tiada lagi bisa menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu itu mula mengagahkan jua jemari membasuh muka berwuduk untuk solat?

Andaikan tika selesai dari membeli-belah, tiba di tempat parking di mana kereta diparkir. Tiba-tiba sewaktu meletakkan barang ke dalam bonet kereta, datang seorang peragut yang cuba merentap beg tangan dan menetak tangan kita berkali-kali hingga darah keluar dengan banyaknya. Mungkin sewaktu itu ingatan mula berputar mengingati Allah untuk menunaikan solat.

Andaikan sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima panggilan ada tender baru, tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta remuk redam. Cermin kereta pecah seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan saat doktor mengatakan bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu terlantar dalam bilik pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.

Apakah ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang disaksikan dalam typical local drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk solat? Kalau jawapannya ya, silakan. Tunggulah.

Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu bukan umpama jarum jam yang bisa diputar ke masa sebelumnya. Anda pasti akan mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.

Wahai hamba... Solatlah!

"Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa"
(Surah Taha ayat 132)

***

"Em, ada nasihat terakhir?"

Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia tetap terus bersama curahan nikmat-Nya!

Kita punya masa untuk keluar bersama kawan-kawan. Kita punya masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa. Kita punya masa untuk melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di situ. Kita punya masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila diri mengatakan tiada masa untuk solat yang hanya 5 minit cuma!

Sekarang diri mengatakan "aku malas solat". Dan lihatlah wahai hamba, Allah telah mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan mampu dikira kerana begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita muhasabah.

"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang"
(Surah An-Nahlu ayat 18)

Namun mungkin masih bisa dikira. Mata untuk melihat. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Kaki untuk berjalan. Tangan untuk memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian untuk dipakai. Kereta untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah untuk berlindung dari panas dan hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah berikan, diri masih berani mengatakan "aku malas solat!"

Andai kamu masih menyedari dua kaki itu masih berpijak di atas bumi-Nya maka tolong. Tolong, tolong dan tolong. Tolong dirikan solat. Namun andai kamu percaya kamu bisa mencari 'bumi' yang lain untuk hidup, tidak mengapa.

Lakukanlah apa yang kamu suka. Tapi ingat, bukan di bumi yang kamu pijak!

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/4864-kenapa-aku-malas-solat.html

No comments:

Post a Comment