AHLAN WASAHLAN

Wednesday 3 October 2012

Dijalan Dakwah Ini..



"Akh, biar apa pun yang terjadi, ana tetap bersama antum."
"Ana harap, ana dapat ikut usrah dengan akhi sampai bila-bila."
"Ana harap akhi akan terus membimbing ana."
"Akhi, kalau ana keluar dari jalan dakwah, tolong tampar ana sampai ana sedar."

Itulah antara dialog bagi mereka-mereka yang mula meletakkan cinta mereka pada pengislahan atau pembaikan diri. Mula meletakkan sebahagian atau sepenuhnya daripada tujuan hidup mereka untuk tarbiyah dan dakwah. Tapi, selalu juga kita dengar dialog seperti,

"Akh, ana tidak bersama antum lagi."
"Akh, ana nak hold dulu halaqoh."
"Akh, ana rasa ana tak mampu nak jadi seperti antum."

Dan lebih malang dan sedihnya apabila ayat yang kedua ini keluar daripada lidah mereka yang mengucapkan ayat-ayat yang pertama tadi.

Kenapa? Entahlah, macam-macam alasannya.

"Tidak ikhlaslah, tidak layaklah, tidak sucilah, tidak mampulah, tidak kuatlah, tidak minatlah, tidak itu dan tidak ini."

OK. Cuba kita duduk dan perhatikan sebentar. Alasan-alasan tadi selalu kita dengar daripada orang yang asalnya aktif dalam berbuat kebaikan, kemudian dia memilih untuk berhenti atas alasan-alasan tadi.

"Tidak ikhlaslah, tidak layaklah, tidak sucilah, tidak mampulah, tidak kuatlah, tidak minatlah, tidak itu dan tidak ini."

Tapi, pernah tidak kita dengar orang yang main games atau kaki movie atau taik couple merungut dengan apa yang mereka perbuat, kemudian menggunakan alasan-alasan tadi untuk meninggalkan perkara-perkara tidak bermanfaat tadi?

"Aku tidak ikhlaslah main games. Delete-lah."
"Samalah, aku rasa tidak layak untuk tengok movie. Tutuplah."
"Itulah, aku pun rasa tidak sucilah untuk bercouple. Clash-lah."

Pernah?

Mungkin ada, tapi berapa ramai jika kita mahu bandingkan dengan mereka-mereka yang lebih suka beralasan dalam melakukan kebaikan berbanding melakukan keburukan?

Lagi satu, pernah tidak kita dengar orang kata,

"Akh, doakan ana istiqomah dalam bercouple ya!"

Atau,

"Akh, doakan ana tsabat atas jalan games!"

Pernah? Kenapa tidak pernah? Kerana dalam nak melakukan perkara-perkara maksiat, manusia memang tidak perlu diajar cara-cara untuk istiqomah. Automatik reti! (tahu) Tapi, kalau dalam hal-hal kebaikan, hal-hal keislaman?

"Akh, doakan ana istiqomah atas jalan tarbiyah." Atau,

"Akh, doakan ana tsabat dalam memperbaiki diri."

Ha.. Ini selalu kita dengar. Sebab apa? Sebab memang hakikatnya untuk duduk atas jalan tarbiyah ini memang perit.

Bukanlah salah kalau kita mengharapkan doa daripada ikhwah atau akhwat kita untuk terus tetap, teguh, isitqomah dan beristimrar atas jalan dakwah, jalan tarbiyah ini. Bagus dan sangat bagus! Cuma, saya mahu ajak kita semua berfikir bahawa, memang atas jalan dakwah dan tarbiyah ini akan ada banyak ujian dan cabaran berbanding kalau kita nak hidup atas jalan hidup sia-sia, buang masa, maksiat dan lain-lain.


Orang akan tuduh kita macam-macam. Gila, sesat, tok lebai, bajet baik, rigid, radikal, ekstrim dan lain-lain. Orang akan ancam kita macam-macam. Nanti kena tangkap polis, tarik scholar, miskin, tak laku.

Pada saya, biasalah itu. Rasulullah SAW dituduh gila, sesat, ahli sihir.

"Demikianlah setiap kali seorang rasul yang datang kepada orang-orang yang sebelum mereka, mereka (kaumnya) pasti mengatakan, "Dia itu pesihir atau orang gila"
(Surah Az-Zariyat ayat 52)

Allah berfirman lagi;

"Dan sesungguhnya orang kafir itu hampir-hampir menggelincirkan engkau dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar peringatan dan mereka berkata: "Sesungguhnya dia (Muhammad saw) benar-benar seorang yang gila"
(Surah Al-Qalam ayat 51)

Malah Rasulullah SAW sendiri pernah diancam bunuh, dipulaukan oleh saudara-mara dan masyarakat.

"Dan (ingatlah) ketika orang kafir mengatur rancangan terhadap engkau (wahai Muhammad saw), (iaitu) untuk menangkap engkau, atau membunuh engkau, atau mengusir engkau. Mereka membuat rancangan dan Allah (juga) membuat rancangan, dan Allah adalah sebaik-baik Pengatur rancangan."
(Surah al-Anfal ayat 30)

Tapi, Rasulullah tidak pernah sesekali berkata;

"Ya Allah, aku nak berehat. Nanti bila dah ready, aku join balik!"

Pernah?

Ada ikhwah bercerita mengenai keluarga dia yang menegurnya kerana clash dengan couple dia,

"Kamu ini kenapa clash, tak kasihankah pada dia?"

Kawan-kawan pula,

"Weyh, kalau dia bunuh diri macam mana?"

Hati diri sendiri pun berkata-kata,

"Betul juga, dulu aku yang bagi harapan pada dia.. Hmm.."

Konklusinya, di jalan dakwah ini tetaplah ikhlaskan niat kita. Berbuat dan terus berbuat kerana mencari cinta Allah dan mengharapkan keredhaan Allah.Tingkatkan amal, jaga hati baik-baik, jaga mata dan sibukkan diri dengan hal-hal berfaedah. Melemah itu biasa, tapi kalau rasa diri itu mula negatif nilai imannya, cepat-cepatlah bina balik.

Tinggalkan sahaja benda-benda maksiat yang akan menghambat perjalanan kita menuju syurga.

"Kalau datang balik macam mana? "

"Buat tak tahu saja. Nanti dah lama-lama, dia boring, hilang lah tu." =)

"Sampai bila?"

"Sampai Islam itu menang atau kita mati kerananya."

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?" (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui, Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam surga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin."
(Surah As-Saff ayat 10-13)

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/4965-di-jalan-dakwah-ini.html

Hijrah Hijab..



"Tanyalah dia, dia serba serbi tahu hal-hal agama ni,Tengok tudung pon dah tahu" kata si A kepada si B.

Itulah ayat yang selalu dilontarkan orang ramai apabila melihat muslimah yang bertudung litup. Walhal, 'bertudung labuh' tidak semestinya datang dari sekolah pondok atau sekolah agama penuh. Malah kadang-kadang yang free hair atau bertudung singkat itu jauh hebat ilmu agamanya berbanding yang bertudung.

Berdasarkan pengalaman hidup gadis yang bernama Nurul, bertudung labuh itu telah mendidiknya menjadi muslimah yang mempunyai akhlak terpuji dan dapat menyelamatkan dirinya daripada fitnah lelaki. Sebelum Nurul jatuh cinta dengan 'tudung labuh' itu sendiri, pelbagai rintangan , cubaan yang telah dirempuh sebelum menjadi wanita Islam yang sebenar mengikut cara Islam. Masya Allah, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana saat sebelum bergelar muslimah sejati itu.

Ya, dia memang seorang pelajar yang sangat cemerlang dalam hal-hal agama. Selalu mendapat markah terbaik dalam peperiksaan. Malangnya, Nurul tidak menggunakan dengan baik anugerah yang Allah kurniakan kepadanya. Bercouple, itu sudah biasa baginya tetapi bersentuh dengan lelaki tidak pernah dilakukannya. Biar hati di 'sentuh' asal bukan fizikal di 'sentuh'.

Keindahan rupa yang Allah anugerahkan kepadanya tidak dijaga dengan baik. Bak kata anak muda sekarang, 'petik jari, 10 boleh dapat'. Namun, dengan kecantikan rupa paras itulah yang membawa Nurul tersasar jalan . Hilang arah hidup. Dia lupa rupa paras itu bukan sekadar anugerah Allah tetapi merupakan satu ujian Nya untuk menguji hamba-hambanya bersyukur.

Baju singkat yang menampakkan tubuh badannya sudah tentu menarik perhatian kaum adam. Lenggoknya yang ala-ala model sudah tentu membuat lelaki-lelaki menoleh dua kali. Senyumannya yang manja turut membuatkan lelaki tidak tidur malam. Maruahnya senang dijaja oleh kaum adam ini. Pernah mereka bertaruh untuk mendapatkan Nurul. Pernah sekali gadis manis yang berdarah kacukan ini diajak tidur dengan lelaki. MasyaAllah , begitu mudahnya.


Namun, Allah masih memberi kasihNya kepada Nurul dengan melindunginya daripada dijadikan permainan lelaki walaupun gadis ini telah lalai jauh daripadaNya. Kasih sayang Allah begitu indah dan istimewa kerana kasihNya mendahului kemungkaranNya. Apabila hilang kasih sayang Allah, sudah tentu hidup kita akan terumbang – ambing dan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenang. Begitu mudah sekali cinta Nurul diperoleh oleh lelaki yang belum tentu miliknya lagi.

Allah itu Maha Adil. Ujian yang sangat hebat telah diturunkan ke atas gadis sunti ini sebagai tanda kekuasaanNya dan juga denda untuk memadamkan dosa-dosa ynag telah dilakukan. MasyaAllah, tempoh setahun ujian itu telah banyak merubah sikap Nurul dari berpakaian ketat hingga bertudung labuh. Alhamdulillah. Sahabat –sahabat yang banyak membantu dalam teguran dan bimbingan dijadikan sebagai kata-kata semangat buat dirinya.

Mungkin anda ingin tahu bentuk ujian yang bagaimanakah diturunkan sehingga beliau berubah sampai begitu sekali? Hanya dalam setahun sahaja sudah merubah segala-galanya? Ujian itu pelbagai bentuk, ada ujian hati, ada ujian sakit, ada ujian nafsu dan lain-lain.

Ujian yang diterima oleh Nurul merangkumi ketiga-tiga kategori ujian di atas. Peranan sahabat-sahabat dalam berdakwah ini amat penting kerana ia boleh membangunkan dan menjatuhkan iman seseorang itu. Mungkin pembaca menganggap ini adalah perubahan yang biasa-biasa sahaja, tetapi bila kita sendiri mengalaminya,adakah kesabaran dan ketabahan diri dapat membantu kita dalam menghadapi dugaan yang datang? Hanya diri anda sahaja yang dapat menilai sendiri.

Tudung labuh belum tentu mempunyai ilmu agama yang tinggi, tetapi ia dituntut syarak berdasarkan firman Allah,yang bermaksud:

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:"Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka".Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Surah al-Ahzab ayat 59)

Tidak ada alasan untuk tidak berjilbab/bertudung , kerana hukumya adalah WAJIB. Seperti yang kita tahu, aurat wanita ini adalah semua bahagian tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan - mengikut pandangan Imam as-Syafie. Dari situ kita sudah tahu hukumnya wajib menutup semua anggota tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan. Berdasarkan ayat al-quran :

"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya."
(Surah an-Nur ayat 31)

Ketahuilah, Allah sangat mengasihi hambaNya dan dengan dinul Islam la juga kaum wanita dimuliakan. Allah mengangkat darjat mereka. Menutup aurat adalah satu kewajipan yang sangat dituntut syarak kerana ia bertujuan untuk melindungi wanita daripada fitnah-fitnah di luar sana yang boleh mengundang bahaya kepada diri. Islam itu sudah cantik dan sempurna, maka jadikanlah diri kita cantik dan sempurna sebagaimana Islam itu sendiri.

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/inspirasi/sinar-hidayah/4985-hijrah-hijab.html

Nilai Sebuah Kemaafan



Suatu ketika, pernah kah kita merasa seolah-olah ada sesuatu yang menganggu ruang fikir kita. Kita mencari-cari di mana arah punca gangguan itu. Hati kita terasa seperti berbuat silap. Tapi semakin kita mencari, semakin pula kusut ruang fikir kita.

Pada satu saat yang lain, pernah kah kita tertanya sendiri, kenapa hati tidak tenang? Kenapa hati terasa masih lagi gelisah? Kenapa fikiran selalu saja melayang mengenang perkara-perkara pahit? Kenapa selalu saja rasa sendu dan duka, kadang melarat dari pagi membawa ke petang.

Sedangkan tangan masih ditadah, masih lagi berbicara doa pada Allah. Meminta itu ini, mengadu begitu begini. Memohon agar diampunkan semua dosa dan kesalahan diri. Namun hati, masih juga buntu dalam menemui erti ketenangan yang sebenar.

Kita muhasabah....

Mungkin kita tidak tersedar, rupanya ketika bibir laju memohon ampun, kita sendiri belum lagi menghulur maaf. Bagaimana harus ditemui ketenangan, andai masih lagi berbekas rasa. Bagaimana mesti kita diampuni, andai masih lagi belum rela melepaskan rasa dalam hati. Kita ingin Allah mengampunkan dosa kita, tetapi kita lupa memberi maaf pada mereka yang bersalah. Kita membuat mereka terluka. Terluka dengan sikap kita.

Memaafkan bukanlah mudah. Kita manusia fitrahnya sentiasa  berteman khilaf. Yang selalu kalah dengan ujian yang Allah beri. Yang selalu dan tak malu mengaku lemah. Sedangkan Allah terang-terangan lebih menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.

Kita ini manusia, yang selalu bersembunyi di balik dinding bernama mangsa. Kita ini manusia, yang tidak mahu memaafkan hanya beralasan 'kita bukan nabi, kita manusia biasa'...

Kadangkalanya kita mangsa dan mengenang betapa diperlakukan dengan tidak adil, betapa diri dizalimi, betapa diri tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu, diperlakukan sebegini... lantas sukar sekali rasa hati untuk memberi sebuah kemaafan.

Mengapa boleh berlaku sedemikian?

Ya, kerana kita sebenarnya lupa. Yang menggerakkan sesuatu itu adalah Allah. Hati manusia, seperti saya, seperti dia, seperti semua, dipegang oleh Allah. Tiada satu pun yang akan terjadi tanpa izin dariNya. Setiap sesuatu, telah dirancang Allah sebaiknya. Baik atau buruk hanyalah di mata kita, manusia yang terhijab dari segala kebaikan yang Allah telah aturkan.


Tersiratnya, andai kita fikir kita dizalimi oleh manusia, lalu enggan pula memaafkannya, maka kitalah sebenarnya yang zalim kerana sedikit sebanyak, kita ini menuduh perancangan dan gerakan Allah itu zalim. Nauzubillahiminzalik. Astagfirullah.

Sedangkan Allah, pemilik segala sesuatu di langit dan bumi, sedia mengampunkan dosa hatta setinggi gunung. Sedangkan Allah, di dalam al-Quran berkali kali menegaskan yang dia Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang. Sedangkan Dia, yang mahu hambaNya memohon ampun walau berkali-kali melakukan dosa.... Tapi kita, hanya hamba yang kerdil, satu antara jutaan butiran pasir manusia, seakan-akan mahu menumpang hakNya, dengan tidak bersedia memaafkan manusia kerdil lain. Siapa kita? Siapa?

Benar, memaafkan memang tidak mudah. Memaafkan sedang hati masih berdarah kerana disakiti, memang sukar sekali. Apalagi jika yang mengkhianati tidak pernah peduli. Tidak pernah menghulur maaf. Tidak pernah menunjuk kesal. Malah seakan bergembira, seolah olah tidak pernah berlaku satu apa pun kesalahan atas bahunya.

Ingatlah, jalan ke syurga itu tidak mudah. Mahu ke syurga itu perlu diselangi dengan jerih payah. Maka, perlu apa kita mengeluh kesah?

Percayalah, bila mana memaafkan maka perlahan-lahan rasa itu pasti datang. Rasa tenang. Rasa damai. Rasa lapang. Bila mana tangan ditadah, lalu memaafkan setulus hati, dapat dirasa hati bersorak girang. Hati terasa bebas dari dendam dan amarah kerana kita tidak lagi menanigisi sesuatu yang telah terjadi.

Didiklah hati itu agar sentiasa mendoakan mereka yang telah mengkhianati kita. Walau sakitnya bagai tusukan sembilu, doakanlah kerana tidak merugi orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan.

Sukar. Sudahlah memaafkan itu payah, lagikan pula mendoakan untuk mereka? Tapi percayalah, memberi kemaafaan itu memberi jalan tenang, memaafkan itu membuka hati semakin lapang. Mendoakan buat mereka yang menganiaya adalah kemuncaknya. Hakikatnya merekalah sebenarnya yang patut dikasihani, kerana bukan saja mereka menzalimi kita, tapi juga menzalimi diri mereka sendiri... Bukankah orang seperti itu patut didoakan?

Walaupun pada saat ini mereka menyakiti dan menzalimi diri kita, mereka dikatakan seorang yang zalim bukan sahaja ke atas diri sendiri malah ke atas diri orang lain juga. Namun, kita tidak tahu bagaimana pengakhiran sebuah kehidupan di masa akan datang antara kita dengan orang yang menzalimi kita itu. Boleh saja orang tersebut menjadi lebih mulia di sisi Allah SWT berbanding diri kita sendiri.


Andai belum pernah mendoakan yang baik-baik untuk mereka, maka pintalah. Setiap kali berdoa, pintalah kebaikan untuk mereka. Janganlah sesekali kita mendoakan keburukan buat mereka. Sebaik-baik mukmin dan 'sekuat-kuat' mukmin itu ialah dia tidak membalas kejahatan, kemarahan, kesakitan yang diberikan oleh mukmin yang lain sekalipun dia berkuasa dan berupaya untuk membalasnya.

Maka doakanlah dirinya dan jangan lupa agar istiqamah untuk mendoakan kebaikan juga buat diri kita sendiri.

Ya Allah,
Ampunilah dosa dan ketelanjuran kami,
Jauhkan kami dari cuba menumpang hakMu,
Jauhkan kami dari rasa dendam dan sakit,
Kami manusia, yang tidak malu berbuat dosa,
Yang tidak segan mengumpul noda,
Ampunilah kami, hambaMu yang hina,
Berikanlah kami hati yang tabah, hati yang kuat,
Untuk memberi maaf, demi mencari ampunanMu...
Amin ya Rabb.

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/4986-nilai-sebuah-kemaafan.html