AHLAN WASAHLAN

Sunday 29 July 2012

" Aku Bukan Saidina Ali "


Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing.
Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu. Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta.
Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.
"Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?"
Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. Dia tersenyum. Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku. Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu.
Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan. Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu?
Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku. Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa.
Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim. Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat.
Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya.
Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?
Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah?
Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya. Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.
"Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum.
"Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa.
"Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad.
Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.
"Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad.
"Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh.
Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi!
"Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas.
"Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.
"Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia.
"Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih!
Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.

Saturday 28 July 2012

Ikhtilat / Hubungan Lelaki dan Perempuan Menurut Pandangan Dr.Yusuf Al-Qardhawi..



Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Adakah sama sekali tidak boleh? Apakah hukumnya? Mungkin kebanyakan kita pernah mendengar mengenai masalah ini, mungkin juga tidak.

Demi cinta dan sayangku kepada muslimah-muslimah di seluruh dunia, ku cuba menterjemah sedikit secara bebas dari buku Fatawa Al Mar atul Muslimah oleh Dr Yusuf Al Qardhawi, saya hanya mengambil di kesimpulan dari keseluruhan jawapan penanya soalan. Teguran dan nasihat amat diharapkan. Semoga ianya dapat memberi faedah kepada semua khususnya para muslimah insyAllah.

Amma ba’d:

Pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh(seperti menuntu ilmu), membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun dibolehkan, kita sama sekali tidak mengabaikan batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam :

1. Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya (lelaki dan perempuan jangan gatal menjeling-jeling) , tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Allah SWT berfirman :

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat".(30)

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, (31)

An Nuur : 30-31

2. Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh, Allah SWT berfirman :

dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, ,(31)

Surah An Nuur : 31

Dikuatkan lagi daripada para sahabat yang dimaksudkan dengan “perhiasan” ialah dua tangan dan wajah.

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan, firmanNya :

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. (59)

Al Ahzab: 59

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

3. Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki :

i. Percakapan , hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :

Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,(32)

Al Ahzab : 32

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :

Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan (31)

An Nuur : 31

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan (25)

Surah Al Qashah :25
iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

4. Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai dirumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

5. Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram disisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama (makin ‘terbakar’ la kalau dibiarkan berdua). Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

6. Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat (cth: mesyuarat) dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa(anak- anak).

Penuhilah syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah disaat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah.

Wallahu Ta’ala A’lam

Dipetik dari : http://ummiesufia.blogspot.com/2009/04/ikhtilathubungan-lelaki-dan-perempuan.html

IKHTILAT.???



Apakah itu ikhtilat? Adakah lelaki langsung tidak memandang wanita dengan menundukkan pandangan sehingga hampir terlanggar tiang? Ketika berprogram, adakah harus diasingkan antara lelaki dengan perempuan supaya terjaga? Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang, lelaki dan wanita, langit dan bumi, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, dan banyak lagi sebenarnya. 




 Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Salah satu contoh yang dapat kita lihat adalah dalam kejadian manusia, Allah telah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.


Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kucar-kacir. Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam.


Namun apa sudah terjadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi, bebas bergaul tanpa batasnya, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.




Ana menyarankan ikhtilat adalah baik sama ada lelaki mahupun wanita, masing-masing haruslah tidak melayan perasaan sehingga boleh menghanyutkan diri sendiri ke dalam kehinaan.Si lelaki tidak akan berjalan berdekatan si wanita, begitu juga tidak akan berjalan belakang si wanita.Jika mahu berjalan bersebelahan sekalipun, ia mesti dalam jarak yang jauh untuk menjaga perasaan. Si wanita tidak akan keterlaluan dalam melembutkan suara sehingga mampu menggoda dan merangsang, dan tidak menunjukkan aksi-aksi yang boleh menimbulkan rasa yang kurang baik dalam hati wanita.




Kedua-duanya pasti tidak akan tenggelam dalam percintaan sehingga bahasa SAYANG menguasai menyebabkan hidup tidak tenang dan tenteram. Ikhtilat dengan tidak berada berdekatan secara dekat semasa mengadakan mesyuarat, mahupun berada di tempat tertentu sudah cukup baik, jika dibandingkan dengan gejala berpegangan tangan dan berjalan-jalan di waktu malam tanpa had batasan. Ikhtilat adalah satu kaedah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini berdasarkan slogan JANGAN SEKALI KAMU DEKATI ZINA.




Kenapa perlu si lelaki sentiasa bertemu si wanita atas alasan rindu dan sayang seolah-olah mereka tidak punya masa untuk mencurahkan rindu kepada Tuhan yang Maha Esa.Kenapa dihabiskan duit si dia terlalu banyak sedangkan duit untuk perjuangan islam langsung tidak pernah dihulurkan. Saya mengingatkan kepada yang asyik bercinta.Berhubungan dengan wanita, atau dengan lelaki, adalah dengan tujuan untuk saling lengkap-melengkapi dan untuk memudahkan urusan. Jika magnet itu terangsang, maka salurlah dengan cara yang paling baik – yakni kahwin. Wanita yang sepatutnya malu akan bertambah malu lagi,begitu juga dengan lelaki.




Diriku terfikir sejenak.Ada juga diantara kita yang terlibat (peringatan buat diri yang hina ini juga) yakni yang hafal Al-Quran ataupun tak, yang faham agama pun tak kurang juga dalam hebat berkata-kata.Sejauh mana pemahaman orang yang hafal Al-Quran itu terhadap bab-bab ikhtilat ini..sejauh mana fahaman yg faham agama itu terhadap masalah ini.. apa yang ana nampak mereka2 inilah yang melangkah jauh dalam bab ikhtilat ini..padahal merekalah pembawa kalam Allah itu..bukankah sedih???? orang yang faham agama dengan sebetul-betulnya boleh terlibat dengan ini apatah lagi mereka2 diluar sana yg xmemahami atau tidak tahu langsung..ramai yg memberi alasan dengan berkata ini adalah urusan kerja..awal-awal memang lah urusan kerja..lama2,mulalah berlarutan dengan soalan-soalan yg tidak sepatutnya..wujudkah cinta ana enti/ana enta???..ramai yg berjanji akan menunggu antara satu sama lain kerana jarak yg memisahkan..tak pun kerana takut si dia itu kita tak miliki..namun pernahkah kita terfikir keberkatan dalam apa yg kita lakukan ni??? TEPUK DADA TANYA IMAN..syaitan sgt bijak..mudah saja syaitan nak menyesatkan kita..perkara2 seperti inilah salah 1 cara syaitan..bodohnya kita!!! kita terperanjat..kita masuk dalam perangkat syaitan..jangan hairan nanti bilamana suatu saat  berlakunya keruntuhan moral dan akhlak yg sangat-sangat teruk pada golongan2 muda disebabkan bab2 ikhtilaf ini..apa peranan kita????



Pesan buat ana dan sahabat sahabiah sekalian.!!!


Ayuh pemuda!! bangkitlah…Islam memerlukan INSAN MUJAHID BERJIWA HAMBA..bukannya yg membawa kpd kelalaian..
Ayuh pemuda!! bangunlah..dengan gagah,,gunakanlah 9 akal yg dikurniakan itu..jgn kau kalah pd 1 nafsumu itu.


Ayuh pemudi!! sedarlah..ketegasanmu benteng AGAMA..


Ayuh pemudi!! tangkislah..syadidkan lah dirimu sekiranya itu perlu..jangan sekali2 kau lemah..


ISLAM MEMERLUKAN INSAN2 YANG BERJIWA PEJUANG!!!!!!

Dipetik dari ::http://fiziq.blogspot.com/2011/02/ikhtilat-apakah-itu-ikhtilat-adakah.html

Wednesday 25 July 2012

Buletin Persya.

Salam alaikum.

26 julai 2012 Bukit Chandan 2.00am : satu kemalangan telah berlaku mengakibatkan seorang mahasiswa Kolej Islam Darul Ridzuan bertembung dengan sebuah lori yang berhenti ditepi jalan. Persya dimaklumkan bahawa mahasiswa tersebut dalam keadaan yang stabil, beliau menerima beberapa jahitan dikaki disebabkan luka yang dihadapi. persya mengajak sahabat pembaca untuk kita sama-sama mendoakan kesembuhan kepada mahasiswa tersebut..Alhumma yashfih..

Pesanan penaja
"hati-hati lah ye dijalan raya, jangan main talifon ketika memandu, nanti padah menimpa apa pun tak guna"

Apa itu IKHTILAT.??




Realiti hari ini menyaksikan manusia lelaki dan wanita telah cuai daripada pegangan agamanya sebagaimana tersasarnya anak panah dari busarnya. Sifat, sikap, adab dan disiplin pergaulan jauh sekali daripada ajaran Islam. Dalam fenomena seperti ini perkataan ikhtilat “pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi” tentu sekali menjadi persoalan yang mengancam kesejahteraan masyarakat dan keutuhan agama.

Oleh kerana itu ulama-ulama Islam satu masa dahulu secara tegas merrghukumkan masalah ikhtilat di sekolah, di pasar dan di mana-mana tempat adalah haram. Wanita lslam pula dididik agar mengutamakan rumah daripada pekerjaan. Oleh kerana itu isu wanita bekerja dan apatah lagi berpolitik adalah satu isu yang ditegah pada satu masa dahulu. Sejajar dengan Firman Allah yang bermaksud; Dan tetaplah di rumah-rumah kamu.
Apakah ikhtilat itu haram?
Fiqh semasa pada kali ini akan menghuraikan hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam berbagai sempena dari segi dalil, skop perbincangan dan batas-batas pergaulan. Contohnya wanita di tempat kerja, di pasar, di pentas dan bergelut di bidang politik. Adakah ia harus melakukan kerja-kerja yang seperti itu padahal dia terpaksa bergaul, bercakap dan bersemuka dengan bukan muhram dan bukan kaum sejenis mereka. Fenomena seperti ini diistilahkan oleh ulama kini sebagai: “ikhtilat”. Oleh itu untuk menghurai persoalan ini kita perlu terlebih dahulu menghurai perkataan iktilat dari segi bahasa dan syariat.
Bahasa
Dari segi bahasa, ikhtilat bererti: meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lainyakni mencampurkannya.
Istilah Syariat
Yang dimaksudkan dalam perbahasan ini ialah: Percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau bersendirian. Percampuran di satu tempat selalunya menyebabkan mereka bertemu antara satu sama lain, berpandangan dan bertegur sapa. Apa hukum ikhtilat dalam konteks yang seperti?
Ikhtilat seperti yang dijelaskan pada asalnya adakah haram atau halal? Untuk mengetahui jawapan, kita utarakan pertanyaan berikut: Adakah wanita sepenuhnya seperti lelaki dalam bercampur dengan lelaki ajnabi? Yakni adakah percampuran mereka dengan lelaki sama dengan percampuran lelaki dengan lelaki, tanpa ada perbezaan?
Jawapannya ialah; Tidak, secara pastinya tidak. Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa pergaulan wanita dengan lelaki sama dengan pergaulan lelaki dengan lelaki. Kerana asasnya pergaulan lelaki sesama lelaki adalah harus, tetapi pergaulan lelaki dengan wanita tidak begitu. Maka kalau itu asasnya, pergaulan lelaki dan wanita adalah haram, bukan harus.
Percampuran yang diharamkan
Setelah kita mengetahui asal hukum pergaulan antara leiaki dan perempuan adalah haram, maka la adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya `al-mufassat fi al-mar'ah’ yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah:
Pertama: Harus kerana terpaksa (dhorurah) Ikhtilat yang berlaku kerana tekpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya: Berkata ahli mazhab Syafei: Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini kedaaan-keadaan dhorurat, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu wajib tanpa khilaf. Antara contoh dhorurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu-satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Kedua:Harus kerana keperluan(hajat) Ulama berkata, hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.
  1. Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
  2. Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
  3. Ikhtilat kerana menjadi saksi. Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
  4. Ikhtilat kerana amar ma’ruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya ‘al-Muhalla’ bahawa Umar al-Khattab (r.a) telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
  5. Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'i seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah (SAW) dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda (SAW).
  6. Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'i. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama baginda. Ini bererti bahawa orang ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.
  7. Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syarei.
  8. Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya: Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
  9. Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayat­kan bahawa Rasulullah (s.a.w.) keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.
  10. Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalam kitab Muwatta persoalan: Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik: Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebaginya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.
Pengecualian Bagi Hukum Asal
Unsur Darurat
pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan itu daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.
Apabila Wujud Keperluan atau Hajat
Muamalat Maliyyah (urusan harta)
Perempuan dibenarkan bergaul dengan lelaki dalam urusan yang melibatkan harta seperti jual beli atau lain-lain transaksi. Ini adalah kerana urusan sebegini memerlukan interaksi antara dua pihak sebelum berlaku aqad.
Penyaksian (urusan mahkamah)
Penyaksian wanita diterima syara. Di dalam kes-kes tertentu seperti dalam kes harta dan berkaitan.
Urusan kerja
Wanita diharuskan keluar rumah untuk bekerja dengan izin suami atau penjaganya. Urusan kerja kebiasaannya melibatkan pergaulan wanita dengan lelaki. Tambahan pula bilangan tempat kerja yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan secara total amat terhad.
Melayani tetamu
Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.
Keperluan lain yang tidak bertentangan dengan syariat
Oleh itu pergaulan yang berlaku contohnya dalam kenderaan awam dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada syarat perempuan itu keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak syarie seperti untuk berpoya-poya. Ia mestilah bertujuan syarie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya. Begitu juga keadaannya jika seseorang wanita perlu ke tempat-tempat awam seperti stesen bas, keretapi, pasaraya dan sebagainya.
Pergaulan menurut kebiasaan adat dalam majlis-majlis
Pergaulan antara lelaki dan perempuan di dalam majlis-majlis keramaian yang tidak bertentangan dnegan syarak seperti kenduri kendara atau majlis-majlis keraian, ziarah keluarga atau jiran serta sahabat, melayan tetamu dan sebagainya dibolehkan.
Pergaulan semasa belajar
Umum mengetahui bahawa situasi keadaan di Malaysia di mana semua rakyatnya berhak untuk mendapatkan pendidikan. Walaubagaimanapun, mungkin timbul dalam usaha menuntut ilmu ini, persoalan tentang pergaulan yang mungkin wujud semasa proses pembelajaran tersebut. Sebagai pelajar sudah tentu akan wujud bentuk komunikasi antara rakan sekelas seperti bertanya soalan, study group dan tugasan secara berkumpulan dan sebagainya. Semua ini jelas menunjukkan betapa pergaulan tidak dapat dielakkan semasa proses pembelajaran.
Adab-Adab Ikhtilat dalam Islam
> Tidak bersentuhan antara perempuan dan lelaki ajnabi.
> Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.
> Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tangan.
> Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat.
> Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.

Alangkah Nikmatnya Bersahur,!!


Diriwayat daripada Abu Said Al-Khudri r.a berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :

Makan sahur itu ada keberkatan, maka janganlah kamu tinggalkannya, walaupun salah seorang dalam kalangan kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya, Allah Azzawajalla dan para malaikat-Nya berselawat ( rahmat daripada Allah s.w.t dan doa memohon pengampunan daripada malaikat ) atas mereka yang bersahur. " - (Riwayat Ahmad)

Tip-tip bersahur :

-minum air masak atau air mineral secukupnya.
-makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencukupi (1-2 hidangan)
-elakkan pengambilan gula yang tinggi.
-Kurangkan pengambilan makanan berminyak dan berempah.
-kurangkan minuman berkafein (seperti kopi,tea,minuman kola)
-berus gigi selepas makan terutama selepas sahur.
-amalkan senaman ringan (seperti : regangan,berjalan)
-tidur atau rehat yang cukup.


Dipetik dari : Gen-Q

Saturday 21 July 2012

Ramadhan Tiba Lagi..

Ramadhan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabila tibanya Ramadhan maka menjadi kewajipan bagi umat Islam berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehinggan terbenamnya matahari.

Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa, serta kelebihan dan fadhilat bulan Ramadan.
Mengapa perlu berpuasa?
Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa  islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.
Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia. Allah SWT telah berfirman: -
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" - (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.
Sesungguhnya puasa ini telah difardhukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Ianya telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas.  Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa dan Nabi Isa sepertimana yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubiy di dalam kitabnya[i]
Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan orang yang mula-mula berpuasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.
Manakala menurut tafsiran Al-Qurtubiy sepertimana di dalam kitabnya mentafsirkan ayat ini adalah pensyari'atan puasa selama sebulan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa 'Alahumassalam. Tetapi  umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari, kemudian mereka menambahnya lagi selama sepuluh hari sebagai tanda membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit. Maka menjadilah puasa orang-orang Nasrani kepada lima puluh hari.
Selain itu, ianya juga telah dilakukan oleh Nabi Daud a.s sendiri di mana baginda menunaikan puasa dengan berselang-seli sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah ibn 'Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
"Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula".
(Hadis riwayat Muslim)
Puasa juga merupakan satu tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang bertaqwa. Dengan berpuasa dapat melatih diri kita menjadi seorang yang sabar dalam menahan diri khususnya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru dengan meninggalkan kemungkaran diiringi dengan melakukan ibadah wajib dan menggandakan amalan-amalan sunat dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Kelebihan Di Bulan Ramadan
Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!
Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.
Firman Allah yang bermaksud :-
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. ".
(Surah Al-Baqarah ayat 185)
FirmanNya lagi :-
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.".
(Surah Al-Qadr ayat 3)
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :-
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.".
(Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)
Selain itu, pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu sementara pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".
(Hadis riwayat Sahih Bukhari)
Dengan berpuasa juga, memberi kesihatan kepada badan kita di mana keseimbangan badan akan terkawal. Sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya mendapat kerehatan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.  Analoginya, sebuah mesin akan mudah rosak apabila sering digunakan tanpa henti. Begitu jugala sistem penghadaman di dalam badan kita.
Persediaan Menghadapi Ramadan
Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi Ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya asbab dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT agar menjadikan Ramadan ini sebagai satu peluang untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita dalam meraihkan seruan Allah SWT, "fastabiqul khairat" yang bermaksud "Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam mengerjakan kebaikan.
Berazam untuk meningkatkan amal ibadat juga adalah penting. Bukan hanya berniat semata-mata tetapi perlulah diiringi dengan azam dan perlulah dibuktikan dengan tindakan.  Sesungguhnya dengan adanya keazaman dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.
Kesihatan tubuh badan, juga perlu di ambil kira samada kesihatan pada fizikal mahupun mental. Jika menghadapi Ramadan dalam keadaan diri kurang sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan agar Ramadan dapat dinikmati dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan untuk menunaikan amal ibadat.
Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.
Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.
Firman Allah SWT yang berbunyi :-
"إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا"
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" - (Surah Al- Isra' ayat 27).
Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri. 

Ramadan Telah Tiba
Terasa keharuman Ramadan kali ini. Semoga peluang yang Allah berikan ini dapat akan digunakan sebaiknya.  Sama-sama kita renungi Ramadan yang lalu bagaimanakah persiapan kita? Adakah Ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?
 Jangan difikirkan apa yang hendak di makan saat berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan ibadah apa yang akan ditunaikan. Amalan apa yang akan digandakan? Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan, adakah bakal kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanyalah iman!
Sebagai hamba yang beriman, tanamkanlah azam agar kedatangan Ramadan kali ini lebih bermakna dari Ramadan sebelumnya. Lebih indah dari Ramadan yang lalu dan membawa momentum perubahan yang besar pada diri. Memberi natijah yang hasanah pada jiwa kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan ianya menjadi latihan transformasi dalam diri, serta tetap istiqamah dalam menghadapi mujahadatun nafs agar amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan Ramadan akan diteruskan pada  bulan-bulan yang lain. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. 

Saturday 7 July 2012

Perlihatkan Kesan Nikmat Itu.!!


Apa yang ada didalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.


Justeru, Saiyidina Uthman Bin Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan, " Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu kecuali Allah akan mengungkapkan melalui raut wajah dan lisannya ".


Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.
Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,"Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik."
Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?
Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.
Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Auf bin Malik menceritakan, "Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan berpakaian yang sudah lama dan lusuh." Rasulullah SAW bertanya, "Adakah kamu mempunyai harta?" Aku menjawab, "Ya". Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi,"Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?" Aku menjawab,"Allah memberikan pada ku melalui unta, kambing, keldai dan tepung." Lantas Rasulullah SAW berkata, " Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepada mu."
Dalam konteks yang sama pernah Rasulullah SAW melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus, lalu baginda bersabda,"Apakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?" Rasulullah SAW juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas baginda menegur,"Apakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?"
Ternyata Rasulullah SAW adalah orang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah SAW. Baginda adalah "Al Quran hidup" yang begitu indah bila dilihat, apalagi bagi yang bergaul bersamanya. Dari Jabir bin Samrah  RA, diriwayatkan,"Aku melihat SAW pada suatu malam terang bulan, aku melihat antara Rasulullah SAW dan bulan." Jabir menyambung." Ternyata Rasulullah SAW bagi ku lebih indah daripada rembulan."
Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, sikaya dan simiskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam.
Itulah juga tradisi dan 'life-style' para Salafus soleh. Imam Ahmad Ibnu Hanbal rhm misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan seorang yang kaya. Beliau adalah seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati.
Tentang penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya Al Maimuni telah berkata,"Aku tidak pernah melihat ada seseorang yang memakai pakaian lebih bersih dari Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih seperti  yang dipakai oleh Imam Ahmad."
Inilah jalan yang ditempuh oleh para Salafus soleh untuk meneladani jalan Rasulullah saw dan inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat, wajah, lisan, pakaian dan luaran kita adalah terjemahan apa yang ada di dalam hati kita!

Monday 2 July 2012

Tutup Atau Balut.?



Sabda Rasulullah s.a.w b yang bermaksud : “Apabila seorang wanita itu menjaga maruahnya, menunaikan solat lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, dan mentaati suami, maka Allah permudahkan jalannya untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang diinginkannya” –Riwayat Ahmad-

Wanita adalah kaum yang amat dilindungi dalam Islam dan wanita amat istimewa dalam agama Islam itu sendiri. Martabat dan maruah wanita amat dititikberatkan sehingga mendapat keutamaan berganda sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya mengenai manusia yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu."
Itu merupakan satu bukti bahawa wanita adalah golongan yang diangkat nilainya dalam Islam berbanding lelaki. Bukan bermakna golongan lelaki tidak mempunyai kepentingan dalam Islam, tetapi wanita umpama permata yang sangat bernilai yang mana wanita juga sering disebut sebagai perhiasan dunia. Namun, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Maka, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyeru golongan wanita untuk menjaga peribadi dan menjadikan keperibadian itu sebagai landasan kehidupan dunia.
Wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan kerana itu boleh menjadi seorang isteri, kekasih, dan teman kepada suami serta menjadi ibu dan rakan kepada anak-anak. Apabila suami menjadi ketua bagi keluarga, si isteri pula akan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga di samping sentiasa berada di sisi suami sebagai penyokong paling kuat. Wanita sebagai satu ciptaan Yang Maha Esa yang dikurniakan sikap lemah-lembut namun sebaliknya, wanita boleh berperanan sehingga mampu untuk menggoncang dunia.

Penulis yakin bahawa para pembaca mengetahui akan kisah Yasir dan Sumayyah dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Perjalanan hidup pasangan suami isteri ini telah banyak digarap dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai bahan bacaan mahupun sebagai kisah animasi yang menggambarkan suasana kehidupan Islam pada zaman mereka. Mereka rela berkorban nyawa demi mempertahankan agama Islam sehingga dijanjikan tempat di syurga Allah kelak. Malah, Sumayyah turut digelar sebagai wanita yang mampu menggoncang dunia dengan pengorbanan yang telah beliau lakukan meski pun terpaksa menyaksikan kematian suami dan anak di hadapan mata.
Wanita sedemikianlah yang perlu dijadikan contoh dan idola dalam kehidupan. Andai sahaja ingin menjadikan wanita-wanita terkenal dunia sebagai sumber refleksi diri, haruslah tidak melampaui batas kehidupan. Aspek keperibadian perlulah menjadi keutamaan kerana aspek ini merupakan cerminan keseluruhan setiap individu. Meski cantik menawan, andai aspek keperibadian diabaikan maka kecantikan itu tidak mempunyai nilai yang baik.
Seharusnya idola bagi setiap individu muslim haruslah daripada masyarakat Islam itu sendiri. Andai lelaki, haruslah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Demikialah seorang wanita muslim, maka adalah tidak wajar jika beliau sendiri kurang mengaplikasikan ajaran serta cara hidup seorang muslimah dalam kehidupan.
Apabila diajukan persoalan mengenai kewajipan menutup aurat, sesetengah wanita muslim bijak mengeluarkan hujah masing-masing. Namun, hujah semata-mata tidak akan memberi makna jika diri sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh,seorang wanita akan memberi alasan bahawa seru belum sampai untuk dirinya memakai tudung dan akan dihujahkan juga bahawa tidak wujud prinsip paksaan dalam Islam. Bagaimana pula jika seru kematian terlebih dahulu memanggil diri sebelum seru untuk menutup aurat itu menjengah?
Menutup  aurat juga tidak semestinya memakai tudung, waima memakai selimut yang melindungi dan menutup bahagian tubuh yang wajib ditutup juga sudah di anggap menutup aurat dengan sempurna. Segelintir wanita muslim juga memberikan alasan tidak tahu untuk menggayakan tudung apabila ditanya mengapa mereka tidak menutup aurat (rambut) sedangkan Islam tidak menggariskan sebarang syarat untuk menggayakan tudung melainkan syarat bahawa tudung yang dipakai mestilah menutup bahagian dada dan tidak terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk leher.
Kini, terdapat wanita yang memakai tudung tetapi bahagian tubuh yang lain dibiar terdedah. Sebagai contoh, tudung yang dipakai diangkat tinggi sehingga menampakkan dada agar kelihatan seksi dan menggoda serta kain yang terbelah sehingga menampakkan betis dan peha. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka""
 (Surah An-nur ayat 31)
Justeru, pemakaian tudung sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam yang telah menggariskan panduan penutupan aurat yang hanya boleh memperlihatkan telapak tangan dan wajah bagi wanita.
Akhir-akhir ini, ramai juga yang berpakaian 'membungkus aurat' dan bukannya menutup aurat. Ini kerana ramai wanita muslimah memakai pakaian yang menutup aurat tetapi mengikut bentuk badan seperti jeans dan blouse yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Pemakaian handsock dengan  T-shirt berlengan pendek juga telah menjadi satu trend dalam kalangan wanita muslim. Inilah yang dikatakan sebagai membungkus aurat walau pada zahirnya aurat itu sudah dihalang daripada pandangan para ajnabi.
Dalil lain yang menunjukkan bahawa hanya bahagian wajah dan tapak tangan sahaja yang boleh didedahkan kepada golongan ajnabi seorang muslimah ialah sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya.Rasulullah s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda yang bermaksud,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya"
 (Hadis riwayat Abu Dawud)
Pemakaian tudung yang tidak menepati syarak sememangnya sangat ditegah dalam Islam dan Allah menyediakan hukuman untuk setiap daripadanya. Bagi pakaian yang mendedahkan dada, wanita itu akan digantung di atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka. Manakala paha dan betis yang sengaja didedahkan itu pula akan menjadi daging panggang dan dibakar api neraka. Astaghfirullah... pedihnya tidak tergambar.
Hari ini kita melihat wanita dijadikan sebagai cagaran utama dalam perkembangan pelbagai bidang yang majoritinya tidak bermodalkan faedah dan manfaat kepada wanita itu sendiri. Dalam pembangunan industry seni tanahair seperti perfileman dan nyanyian contohnya, wanita dijadikan sebagai tarikan utama dengan penampilan yang mendedahkan aurat yang seharusnya hanya didedahkan kepada individu tertentu sahaja seperti ibu bapa, suami, anak-anak serta adik-beradik.
Bukan sahaja berpenampilan tidak sopan, sesetengah filem juga menjadikan wanita sebagai pelakon bagi watak tidak bermoral seperti pelacur serta pekerja di kelab malam. Situasi sedemikian bukan sahaja boleh ditonton dalam filem-filem antarabangsa malahan filem dan drama tanahair turut memaparkan adegan-adegan tersebut. Aksi-aksi erotik, lucah dan mengghairahkan yang dipaparkan oleh para pelakon wanita contohnya, menjadi tarikan utama kepada para penonton.
Tindakan pengarah-pengarah filem bertaraf antarabangsa yang banyak mengetengahkan golongan wanita sebagai tarikan dalam garapan filem mahupun drama mereka kini telah menjadi ikutan kepada beberapa penggiat seni perfileman tanahair. Malah, ada antara filem-filem tempatan yang memaparkan aksi-aksi ranjang antara pelakon wanita dan lelaki dan kedua-duanya diketahui umum sebagai Muslim. Malah para pengarah serta krew-krew yang terlibat majoritinya adalah beragama Islam. Astaghfirullah al-'azim, di manakah kesedaran mereka akan dosa dan pahala? Apakah mereka menganggap dosa dan pahala itu sebagai perkara kedua selepas ganjaran wang ringgit dan populariti?

Ringkasnya, seorang wanita harus mengetahui akan nilai dan kepentingan hak serta maruah mereka lebih-lebih lagi jika bergelar wanita muslim. Islam itu tidak seharusnya digunakan pada nama. Islam itu agama yang indah dan Islam juga merupakan suatu cara hidup yang menjanjikan ketenangan jiwa andai betul caranya. Asas kehidupan muslim adalah perkara utama yang perlu diambil kira kerana setiap sesuatu itu ada permulaannya. Asas keimanan, akidah, akhlak dan muamalat adalah antara perkara yang tidak seharusnya di pandang remeh oleh setiap individu muslim. Asas-asas inilah yang akan membina jati diri mulia dan bernilai tinggi dalam sebuah kehidupan sebagai individu muslim.