AHLAN WASAHLAN

Thursday, 16 August 2012

Air Mata Ramadhan...


Tidak ku duga...
Engkau kian menghampiri saat kepulanganmu
Sedang aku baru mulai menghitung ibadah
Rupanya terlalu tipis ibadah yang ku gubah
Saat ini baru ku sedari kenikmatanmu
Saat ini baru ku sedari keindahanmu

Duhai Ramadhan...
Ku akui imanku terlalu halus umpama zarah-zarah yang berterbangan
Ku tahu kedatanganmu terlalu pantas seumpama sambaran kilat
Namun ku tetap terus leka dengan mainan khayalan benakku
Tanpa memikirkan untuk mengatur cara mendakapmu seeratnya
Aku lupa denganmu aku bisa melawan amarah yang menyinga
Daripadamu juga berusaha mendidik rembatan nafsu bisuku
Dan daripadamu juga aku mengenal kondisi diriku yang sebenarnya

Kini baru aku mulai bersungguh menggapaimu
PadaNya ku sujud meratib memohon berjuta keampunan
Atas segala titik dosa yang pernah ku pahatkan padaNya
Air mataku lencun membasahi hamparan sujudku
Mangalir deras menyucikan lorong-lorong kelam dosa
Menyuburkan kebun hati yang tandus baja ketenanganNya

Mutiara jernih itu amat bernilai maharnya bagiku
Kerana ia penawar utama buat sanubari ini
Aku bersyukur di kelewatan keinsafan ini
Engkau suntikkan sinar cahaya kesedaran
Akan ku berusaha meraih fasa ketiga yang Engkau titipkan
Setelah fasa pertama dan kedua yang telah ku abaikan

Ya Allah...
Berilah daku peluang untukku mengkoreksi diri
Walau ku tahu RamadanMu akan berlalu pergi
Berilah ruang dan peluang ku mengecap sekelumit berkat darinya
Aku juga hambaMu yang amat mendambakan malam Al-Qadr
Temukanlah aku dengannya agar ianya bakal menjadi bekal bagiku nanti

Ya Ilahi...
Akan ku pelihara air mata Ramadan ini hingga ke akhirnya
Takkan ku biarkan air mata ini menitis untuk perkara yang sia-sia
Titipkanlah walau secangkir cuma belas EhsanMu kepadaku
Agar ku bisa mewarnai kehidupanku dengan keimanan padaMu
Agar ku bisa pulang dengan penuh rasa kehambaan padaMU

-Allahumma innaka a'fuwwun karim tuhibbul a'fwa fa'fuanni-

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/4879-air-mata-ramadan.html

Tasbih Ukhwah Kita..


Ukhwah ini umpama tasbih

Punya awal namun tiada akhirnya

Andai tasbih ini berhenti

Rasa cinta dan mahabbah di hati

Sentiasa membara di dalam diri

Yakin dan pasti...

Sedikit masa nanti...

kita akan mengulangi tasbih ini kembali

Kerana cinta yang tertanam sentiasa bersemi

Kerana tasbih ini tautannya cinta Rabbi

Kerana kasih ini sentuhannya rahmat  Ilahi

Zat yang sempurna kekal abadi



Untaian tasbih ini untuk mengingati-Nya

Diulang dan diratib demi meraih redha-Nya

Seakan ukhwah bertemu dan berpisah

Hanya untuk menyemai cinta di hati

Agar gelap pada pandangan cinta dunia

Jelas pandangannya pada nafsu yang sering berkuasa



Sungguh ukhwah ini bukan sekadar nama

Akan hidup dan mati  hingga ke hujung nyawa

Saling memerlukan sesama kita

Kerana fitrah kita tiada sempurna

"Nasihat-menasihati sesama manusia"

Suruhan Ilahi muhasabah jiwa



Bimbinglah diri agar tasbih ini kekal di hati

Jangan biar ia sunyi dan sepi

Bawalah diri mengingati Rabbi

Bawalah hati saling mencintai

Ketika uhkwah ini bertasbih

Cahaya petunjuk memancarkan seri

Dalam hidayah kasih bersemi



Sedar kita adalah bersaudara

Berpisah di dunia untuk bertemu semula

Sesungguhnya dunia itu ladang meraih taqwa

Moga bertemu meraih jannah

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/4885-tasbih-ukhwah-kita.html

Kerana Sepotong Ayat


"Aku tak pernah tinggal solat lima waktu walaupun aku tahu aku tidak menutup aurat dengan sempurna. Setiap amalan kita hanya Allah sahaja yang dapat menilai; bukan engkau, bukan ustaz," tutur kawan saya sewaktu menikmati makan tengahari bersamanya.

Pantas saya mengangkat muka. Nasi di tangan tidak jadi disuap ke mulut. Saya jangkakan ada sesuatu yang menarik yang hendak dikongsikan. Lantas saya bertanya, "Apa yang membuatkan engkau berkata begitu?"

"Bukan apa. Aku cuma merasakan tidak adil untuk seseorang itu menghukum orang lain hanya kerana dia menutup aurat dengan sempurna sedangkan orang yang dihukumi pula tidak. Kau tidak merasakan begitu?" dia bertanya pada saya pula.

"Jadi pada pendapat kau, adil tu macam mana pula?" Saya meluncurkan pertanyaan. Sebetulnya saya sendiri pun tidak pasti apa jawapan yang patut saya berikan jika saya ditanya begitu.

"Maksud aku, dia cuba menghukum orang yang macam aku tetapi dia menutup mata pada orang yang melakukan maksiat hanya kerana mereka menutup aurat dengan sempurna. Faham?"

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Mengikut perkiraan saya, mungkin apa yang dimaksudkan ialah gejala maksiat yang berleluasa dalam kalangan orang yang menutup aurat.

Kawan di hadapan saya ini seorang perempuan biasa. Tidak lahir dalam keluarga yang beragama, ayahnya bukan siak masjid, ibunya juga bukanlah ustazah apatah lagi kedua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Tapi pemikirannya agak luas dan tidak terperosok ke dalam lembah kejumudan. Itu yang saya suka pada dirinya. Hari ini dia memulakan topik aurat dan saya begitu teruja untuk berdiskusi bersamanya.

Tanpa semena-mena saya nampak matanya mula berkaca. Ada air mata di pelupuk matanya.

"Kau tahu, selama ini aku tak henti-henti berdoa supaya Allah bukakan pintu hati aku untuk taat kepadaNya. Aku nak tutup aurat dengan sempurna. Aku tak mahu membebankan dosa ayahku di akhirat kelak gara-gara sikapku. Aku perlukan bimbingan tetapi aku hanya mendapat cemuhan," katanya sayu.

Saya menundukkan kepala. Terasa sayu mendengar luahan hatinya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus aku memujuknya. Lama aku terdiam. Sebelum sempat aku berkata-kata, dia terlebih dahulu bersuara

"Tak mengapa kalau kau tidak mampu berkata apa-apa. Aku cuma mahukan orang mendengar luahan hatiku."

Saya hanya mampu mengetap bibir.

Hari ini, selepas lima tahun berlalu, saya masih lagi teringat peristiwa tersebut. Begitulah saya. Apabila berdepan situasi yang menyentuh hati, ia menjadi amat sukar untuk dilupakan. Saya masih ingat lagi sebelum saya berangkat ke Glasgow lima tahun lepas, dia memeluk saya erat-erat. Dia menangis. Katanya, dia akan kehilangan seorang sahabat yang benar-benar mengerti keadaannya. Saya katakan padanya mungkin kita terpisah di bumi nyata tetapi tidak di bumi maya. Sebelum masuk ke balai berlepas, saya berbisik di telinganya, "Jangan lupa install Skype."

Dia tergelak dan mengangguk-anggukkan kepala.

Di hadapan saya kini terbaring seorang perempuan yang pernah menjadi kawan baik saya. Wayar-wayar berselirat di lengannya. Saya masih ingat sewaktu saya di tahun pertama, dia selalu mengirim e-mel kepada saya. Jika ada masa terluang, kami pasti berbual di Skype. Masuk tahun berikutnya, banyak tugasan harus disiapkan dan saya tidak mempunyai masa untuk berbual dengannya. Saya mengesat air mata yang tumpah di pipi. Saya duduk di sebelahnya dan menggenggam erat jemarinya.

"Saya datang," perlahan saya membisikkan di telinganya. Saya yakin dia pasti dapat mendengarnya. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Dia tersenyum memandang saya. Itulah keistimewaan dirinya, sentiasa tersenyum meskipun dalam keadaan sakit begitu.

"Aku dah tutup aurat dengan sempurna," katanya perlahan. Ternyata dia masih ingat butir perbualan kami lima tahun dahulu. Saya tersenyum.

"Alhamdulillah," ucap saya ringkas.

"Rehatlah," saya menyambung.

Dia menggeleng-geleng.

"Ayat Allah begitu sempurna dan syahdu," secara tiba-tiba dia bersuara.

Dahiku berkerut tidak memahami apa yang hendak disampaikan. Dia menyambung lagi, "Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."

Air mata saya bergenang mendengar ayat tersebut. Ayat tersebut merupakan ayat ke 16 dalam surah Al-Hadid. Ayat itu jugalah yang membuatkan seorang ulama bernama Malik Bin Dinar bertaubat dan menyesali segala perbuatannya.

"Kau tahu, ayat ini muncul dalam mimpiku beberapa tahun lepas. Waktu itu malam terakhir Ramadhan, aku berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah berkenan untuk membuka hatiku. Betapa berkuasanya Allah, hanya sepotong ayat mampu menyedarkan aku," katanya sambil mengesat air mata.

"Sememangnya Dia lah yang paling berkuasa ke atas semua makhlukNya," ringkas saya menjawab.

"Dahulu aku dicemuh kerana aku tidak menutup aurat dengan sempurna, tetapi lihatlah. Allah mengubah aku dengan sekelip mata dan hanya dengan sepotong ayat. Dan kadang-kadang aku terfikir, bagaimana ada manusia tergamak untuk mencemuh dan menghukum orang lain hanya kerana mereka berbuat dosa? Bukankah setiap manusia itu pendosa? Semakin aku berubah, semakin aku bersimpati kepada mereka yang seperti aku suatu ketika dahulu. Mereka selayaknya didampingi bukannya dicemuh."

Saya menelan air liur. Terasa pahit. Mungkin kerana kebenaran itu pahit? Mungkin?

"Walau sejahat dan sezalim mana pun kita, yang memberi hidayah hanyalah Allah, bukannya orang lain. Dan saya bersyukur kerana Allah memilih saya."

Dia menghembus nafas lega. Daripada riak wajahnya, dia seakan-akan puas kerana dapat meluahkan segala yang terbuku di hati kepada saya, sahabat baiknya.

Sahabat saya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir tiga hari kemudian. Berada di sisinya ketika itu ialah suami, dua orang anaknya yang masih kecil serta saya sendiri. Anak-anaknya saya lihat bertudung litup, mungkin mengikut jejak ibunya. Segala puji bagi Allah.

[NOTA: Cerita di atas hanya sebuah cerita cerpen mengenai seorang yang berjaya mendapat hidayah daripada Allah SWT. Ia bukan kisah benar.]

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/inspirasi/sinar-hidayah/4882-kerana-sepotong-ayat.html

Aku Bukan Hamba Ramadhan..



Aku bukan hamba Ramadan,
kerna Ramadan cuma sebulan,
itu cuma satu kesempatan daripada Tuhan,
agar aku gandakan amalan,
agar aku tingkatkan kesabaran,
untuk menjadi hamba beriman.

Dalam tempoh sebulan,
al-Quran menjadi teman,
qiam pun jadi ringan,
jemaah subuh tak pernah lengang,
terawih di masjid jadi kebiasaan,
sentiasa cari peluang berbuat ihsan,
berusaha selalu menjaga pandangan,
lisan terjaga daripada perkara haram,
agar pahala tidaklah lompang,
kerna merebut barokah Ramadan.

30 hari berlalu sudah,
'Aidil fitri disambut meriah,
solat pun makin lengah,
kadang terlewat sampai Subuh gajah,
baca Quran makin susah,
hati makin goyah,
kadang tersesat dengan dosa membuncah.

Ya Allah,
bantulah aku dalam mengingatiMu,
bersyukur padaMu,
dan perelokkan ibadahku,
aku tidak mahu jadi hamba Ramadan,
tapi jadi hambaMu Tuhan,
aku tidak mahu bertuhankan Ramadan,
tapi bertuhankan Engkau Ya Rahman,
ikhlaskan aku,
agar madrasah Ramadan sebulan ini,
mendidik aku menjadi hambaMu yang muttaqin,
bukan saja di bulan ini,
bahkan ke penghujung hayatku nanti.

*****

Ramadan tinggal beberapa hari lagi. Bagaimana dengan kualiti ibadah kita? Teringat tazkirah seorang ustaz di Ikim.fm: "Dalam kalangan kita ada yang telah khatam Al-Quran. Ada yang munajatnya di dini hari hingga air matanya tidak berhenti mengalir kerana takutkan Allah. Dalam kalangan kita ada yang benar dalam taubatnya, diterima taubatnya sehingga keluar darinya dosa sama seperti hari dia dilahirkan. Namun malang sekali, masih ada dalam kalangan kita yang masih mensia-siakan Ramadan hingga saat ini. Baginya Ramadan cuma satu adat; puasa, bazar dan terawih. Tapi, roh Ramadan tidak dihayati sebenar-benarnya. Tinggal terawih rasa berdosa, tapi melengahkan solat fardhu rasa biasa. Rugi. Sangatlah rugi golongan ini. Bersegeralah sebelum Ramadan berlalu pergi. Jadikan Ramadan sebulan ini sebagai madrasah untuk mendidik kita jadi hamba yang lebih dekat dengan Allah. Agar ia menjadi bekal untuk kita terus istiqomah hingga Izrail menjemput kita."

Kenali Dinar dan Dirham Kelantan, Mata Wang Syariah.


Apakah Matawang Syariah?

Matawang syariah adalah Dinar Emas dan Dirham Perak. Matawang ini pernah digunakan pada zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat.

Apakah Dinar?

Mengikut piawaian khalifah umar al-khattab, Dinar diperbuat daripada emas 22karat (917). Nilai satu Dinar pada zaman Rasulullah bersama dengan seekor kambing. Nilai Dinar Kelantan pula adalah RM581 pada tarikh pelancaran iaitu 12 Ogos 2010.

Apakah Dirham?

Dirham pula diperbuat daripada perak tulen (999) dan nilai satu Dirham pada zaman Rasulullah boleh membeli seekor ayam.

Bilakah Dinar Dirham Kelantan dilancarkan?

Pada 12 Ogos 2010 oleh Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apakah Kegunaan Dinar dan Dirham Kelantan?

Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk :

1.    menyempurnakan ibadah zakat,

2.    bayaran mas kahwin,

3.    simpanan.

4.    Bonus dan hadiah

Ianya juga boleh berfungsi sebagai medium pertukaran sukarela untuk barangan atau pun perkhidmatan.

Dimanakah Dinar dan Dirham Kelantan boleh didapati?

Sila hubungi Wakalah Utama / wakil pengedar untuk maklumat lanjut. Dan untuk mengetahui harga semasa sila ke www.dinarkel.com

Apa kaitan Dinar dan Dirham Kelantan sebagai matawang Syariah?

Dinar dan Dirham Kelantan dikatakan matawang syariah kerana ianya halal menurut syarak. Dinar dan Dirham Kelantan menggunakan Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab. Piawaian ini menetapkan hubungan dinar-dirham sebagai berat 7 koin 1 dinar bersamaan dengan berat 10 koin 1 dirham. Secara amnya berat 1 dinar ialah 4.25g emas berketulenan 22k (91.7%); manakala 1 koin dirham bersamaan 2.975g perak tulen.

Benarkah perkataan Dinar& Dirham ada di dalam Al Quran?

Perkataan dinar dan dirham disebut didalam Al-Quran pada: Surah Imran (3):75 yang bermaksud

"Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi", dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta)."

Surah Yusuf (12):20 yang berbunyi

"Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya dan merekaadalah orang-orang yang tidak menghargainya."

Bolehkah Kalimah Syahadah digunakan pada Dinar dan Dirham?

Boleh. Kalimah syahadah telah mula digunakan semenjak dinar mula-mula ditempa oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan pada 120H. Dengan menempa kalimah tersebut melambangkan syiar Islam dan deklarasi iman dalam setiap keping dinar dan dirham. Lihat di sini




Berikan contoh penggunaan dinar dan dirham di zaman Rasul S.A.W?

Contoh penggunaan dinar oleh Rasul S.A.W.

Hadits daripada Urwah bin Abi Al-Ja'd Al-Bariqi, beliau berkata:

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam memberinya satu dinar untuk membeli seekor kambing, lalu ia membeli untuk Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dua kambing dengan wang tersebut. Maka ia jual seekor dengan harga satu dinar dan membawa satu ekor kambing dan satu dinar kepada Nabi Shallallahu'alaihi wa sallam. Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam mendoakannya: "Dia (Urwah ini), seandainya membeli debu tentu akan untung juga"
( Riwayat Abu Dawud [2810] dan at-Tirmizi [1/287])

Contoh penggunaan dirham oleh Rasul S.A.W

"Abu Salamah menceritakan, "Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, "Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?" Aisyah menjawab, "Mahar beliau untuk para istrinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy." Lalu Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?" Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab, "Empat puluh dirham." Aisyah bertanya, "Tahukah kamu, berapa satu nasy itu? "Aku menjawab, "Tidak." Aisyah menjawab, "Dua puluh dirham."
(Riwayat Imam Muslim)

Berikan contoh kaitan dinar dan dirham dengan Hukum Syarak?

Contoh dari segi zakat ialah nisab atau ukuran zakat ialah ½dinar bagi setiap 20 dinar dan 5 dirham bagi setiap 200 dirham; yang cukup haulnya. Manakala hudud dijalankan dalam kes kecurian yang nilainya melebihi ¼ dinar.


Apakah kaitan Pemerintah dengan Dinar dan Dirham?

Dinar dan dirham berkait rapat dengan kerajaan. Ini diperhatikan dalam Surah An-Nisa: 59:

"Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu"
(Riwayat Imam Muslim)

Menurut Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau, ayat tersebut merupakan perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara. Perkara pertama ialah penempaan dinar dan dirham; dan enam yang lainnya ialah penetapan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu'ah, dua Hari Raya dan Jihad. Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan agama Islam dan kedaulatan daulah Islam. Penggunaan dinar melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah; bukan semata-mata urusan ekonomi.

Apakah Dinar Dan Dirham Kelantan sahaja yang boleh dijadikan matawang?

Tidak semestinya. Di sepanjang sejarah manusia terdapat pelbagai komoditi yang digunakan sebagai wang. Komoditi di atas termasuklah binatang ternak, bijirin, manik-manik, cengkerang, rokok, tembaga dan timah. Emas dan perak telah terpilih sejak berzaman sebagai matawang kerana mempunyaiciri-ciri sebagai wang. Ianya sukar diperoleh, cantik, mudah dibahagi, mudah dibawa, diterima khalayak ramai dan tidak mudah dimusnahkan. Imam Malik di dalam Kitab Al-Muwatta menjelaskan bahawa wang ialah apa-apa komoditi yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan pertukaran.

Adakah Koin Kijang Emas sama dengan Dinar Kelantan?

Tidak sama. Spesifikasinya berbeza daripada Dinar Kelantan.Kijang Emas ialah koin emas seberat ¼, ½ dan 1 troy ounce yang dilancarkan Bank Negara Malaysia sekitar Julai 2001. 1 troy ounce adalah bersamaan 31.1 g;1 Dinar Kelantan pula 4.25g.

Benarkah wang kertas seperti dolar Amerika, Yen Jepun dan ringgit Malaysia 100% disandarkan dan boleh disaling-tukar dengan emas?

Tidak benar. Berdasarkan sistem kewangan dunia kini, tiada satu pun mata wang nasional yang bersandarkan emas. Wang kertas hanya boleh ditukar dengan wang kertas yang lain. Sebagai contoh; jika seseorang ke bank pusat seperti Bank Negara Malaysia untuk menukarkan sekeping wang $100, beliau akan diberikan SAMA ADA 2 keping wang $50 ATAU 10 keping wang $10; ATAU 100 keping wang $1 tetapi tidak sama sekali ditukarkan dengan emas.

Sandaran kepada "wang kertas BNM" atau lebih dikenali sebagai Ringgit adalah wang kertas yang lain; seperti Dollar Amerika, Yen Jepun, Euro dan seumpamanya. Emas cuma merupakan sebahagian kecil daripada rizab BNM, sekitar 1.5% (Cuma RM1.452 bilion daripada RM94.772 bilion; setakat 30 Jun 2010). Rujuk pautan ini.

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/berita/184-advertorial/4855-kenali-dinar-dan-dirham-kelantan-matawang-syariah.html

Saturday, 11 August 2012

Kenapa Aku Malas Solat.??



"Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang."

"Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan... Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?"

"Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I...I just don't get it...Please, help me..."

***

Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.

Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah. Syahadatain ada dalam solat.

Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada waktu yang telah ditetapkan.

Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat. Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.

Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan. Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan dan minum termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan sengaja selain daripada Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf membatalkan solat. Hikmah puasa ada dalam solat.

Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga ada dalam solat.

Subhanallah!

***


"Aku tak solat tapi aku masih berbuat baik terhadap orang lain?"

Solat amalan pertama yang akan dihisab Allah.

Abu Hurairah berkata : "Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: " Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu"
(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)

Andai anda melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing jiran tetapi apabila pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik tak? Begitulah kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri sendiri dengan Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu?

Anda baik dengan manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan sahaja kebaikan itu dengan solat yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan hati. Terutama menyemai rasa ikhlas dalam melakukan amalan. Bimbang andai kebaikan selama ini yang dilakukan mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia sedangkan solat ditinggal di belakang manusia.

Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang lain tersangkut waktu hari perhitungan.

Wahai hamba... Solatlah!

"Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman" "
(Surah An-Nisa' ayat 103)

***

"Kenapa aku jadi macam ni?" Kita tahu kita salah, tapi sukar pula untuk berubah. Rasa berat untuk nak mula.. Kenapa ya?

Satu. Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.

Dua. Sebab tak ingat mati.

Tiga. Sebab seronok hidup dekat dunia.

Empat. Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.

Lima. Sebab lalai dengan kemewahan.

Enam. Sebab kurang ilmu agama.

Tujuh. Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.

Lapan. Sebab malas mujahadah.

Sembilan. Sebab solat dianggap sekadar ritual yang tidak dihayati.

Sepuluh. Anda bagilah sebab sendiri. Diri sendiri lebih kenal diri sendiri. Tanya diri sendiri kenapa aku jadi begini.

***

"Baik. Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali semula?"

Sebagai sesama muslim, kita sentiasa perlu diingatkan kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surah Adz-Dzaariyat ayat 56. Allah berfirman yang bermaksud:-

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"

Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah lima perkara tersebut? Mesti semua sudah maklum kan...

Tak salah nak dengar lagu 'You're Beautiful' Bruno Mars. Tak ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah anda dengar lagu itu, saya boleh tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga pesanan Rasulullah yang diabadikan dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan.

"Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati"
(Riwayat Hakim dan al-Baihaqi )

Kalau kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu kereta besar. Mahu rumah besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang proses duit palsu Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi? Bukan tentang soal hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat sana.

Ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata masih bisa dicelik. Udara masih bisa dihirup. Nafas masih lagi terhela. "Oh, hidup lagi aku ni rupanya. Alhamdulillah".

Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak bisa lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru, laptop baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang. Allah langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya memakan masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?

Syukur kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka cantik. Mata menarik. Hidung masih berfungsi. Mulut masih bisa menelan. Tiada anggota yang cacat. Ada orang tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi menggagahkan diri berjalan kaki ke masjid. Malu kita.

Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya pada dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang ada ini sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu dihisab nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apakah dapat diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir semua itu?



Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat pandangan. Diri mula panik. Tidak bisa melihat alam lagi. Tidak bisa menatap wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar. Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas mengambil wuduk.

Andaikan otot anda yang digunakan untuk menulis, menaip dan bermain. Suatu ketika Allah menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot yang tidak berfungsi. Saraf mula terjejas. Tiada lagi bisa menggerakkan jemari seperti dulu. Tiada lagi bisa menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu itu mula mengagahkan jua jemari membasuh muka berwuduk untuk solat?

Andaikan tika selesai dari membeli-belah, tiba di tempat parking di mana kereta diparkir. Tiba-tiba sewaktu meletakkan barang ke dalam bonet kereta, datang seorang peragut yang cuba merentap beg tangan dan menetak tangan kita berkali-kali hingga darah keluar dengan banyaknya. Mungkin sewaktu itu ingatan mula berputar mengingati Allah untuk menunaikan solat.

Andaikan sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima panggilan ada tender baru, tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta remuk redam. Cermin kereta pecah seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan saat doktor mengatakan bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu terlantar dalam bilik pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.

Apakah ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang disaksikan dalam typical local drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk solat? Kalau jawapannya ya, silakan. Tunggulah.

Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu bukan umpama jarum jam yang bisa diputar ke masa sebelumnya. Anda pasti akan mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.

Wahai hamba... Solatlah!

"Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa"
(Surah Taha ayat 132)

***

"Em, ada nasihat terakhir?"

Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia tetap terus bersama curahan nikmat-Nya!

Kita punya masa untuk keluar bersama kawan-kawan. Kita punya masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa. Kita punya masa untuk melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di situ. Kita punya masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila diri mengatakan tiada masa untuk solat yang hanya 5 minit cuma!

Sekarang diri mengatakan "aku malas solat". Dan lihatlah wahai hamba, Allah telah mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan mampu dikira kerana begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita muhasabah.

"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang"
(Surah An-Nahlu ayat 18)

Namun mungkin masih bisa dikira. Mata untuk melihat. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Kaki untuk berjalan. Tangan untuk memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian untuk dipakai. Kereta untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah untuk berlindung dari panas dan hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah berikan, diri masih berani mengatakan "aku malas solat!"

Andai kamu masih menyedari dua kaki itu masih berpijak di atas bumi-Nya maka tolong. Tolong, tolong dan tolong. Tolong dirikan solat. Namun andai kamu percaya kamu bisa mencari 'bumi' yang lain untuk hidup, tidak mengapa.

Lakukanlah apa yang kamu suka. Tapi ingat, bukan di bumi yang kamu pijak!

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/4864-kenapa-aku-malas-solat.html

Cinta Yang Teristimewa..



Menginginkan kebahagiaan dalam cinta, harus bermula dengan mencintai Sang Pemberi Cinta, Allah yang Maha Esa. Ini tazkirah untuk saya dan kita :)

Jika kita melupakan Allah, kita tetap mampu mencintai si dia. Tapi sebentar cuma. Kita tak akan cinta bila si dia menunjukkan kelemahan dan terpamer keburukan. Kita juga selepas beberapa ketika hadir jemu di sisinya. Kita manusia, kuasa mencintai kita terbatas.

Namun bila kita mencintai Allah, kuasa mencintai kita menjadi hebat. Kita mampu memaafkan, hati kita luas dan lapang, kita menutup keaiban, memberi kasih sayang tanpa syarat, tidak marah, tidak menghukum, walau kadang kita mungkin melukakan hati si dia juga.

Allah, amat besar cinta yang dianugerahkan kepada orang-orang beriman.

Allah tak bosan dengan kita, makin kita mendekati Allah, makin Allah lebih cepat mendekati kita. Sedangkan si dia, dia rimas kita terkejar-kejar dia atau asyik menghubunginya. Seperti firman Allah dalam hadis Qudsi:-

"...Dan jika dia mendekati kepadaKu sejengkal, Daku akan mendekati kepadanya sehasta; Dan jika dia mendekati kepadaKu sehasta, Daku akan mendekati kepadanya sedepa; Dan jika dia mendatangiKu sambil berjalan, Daku akan mendatanginya dengan berlari.."
(Riwayat Bukhari)

Allah boleh jaga kita sepanjang masa, bukan seperti si dia, diri dia pun selalu tak terjaga - malah dia pula menuntut kita menjaga dan memberi perhatian padanya :D (tak mengapa, kerana pasangan yang baik memang saling menjaga!)

Allah selalu ada bila kita perlukanNYA, bukan seperti si dia yang sibuk dengan urusan dunia yang tak selesai. (malah urusan berkaitan kita juga !)

Allah mendengar suara hati, sangat memahami setiap turun naik perasaan, mengetahui setiap hela nafas yang kegembiraan dan kesedihan. Bukan seperti si dia yang kadang sukar memahami.

Allah bagi kita hadiah dan nikmat macam-macam, yang sangat berharga untuk kita - yang kita tak boleh beli di pasaran... ada di pasar malamkah sekilo biji mata? Atau sekampit usus? Atau sepasang buah pinggang? :D

Maka, jalinkan cinta dengan DIA yang amat sempurna, sebelum menjalin cinta dengan manusia.

Malah, kita ajak si dia mencintai Allah lebih dari kita mencintai satu sama lain. InsyaAllah kita akan jadi pasangan yang paling bahagia. Allah lah yang akan jadikan si dia pasangan yang tak jemu dengan kita, yang menjaga kita, yang di sisi bila kita perlukannya. Alhamdulillah. Kalau dia tak ada di sisi, kita tenteram kerana kita dan si dia mengiktiraf penjagaan Allah lebih dari segalanya :)


Jika mencintai suami, anak-anak, keluarga, teman-teman - cintailah kerana kita mencintai Allah.

Maka berkongsi kasih sayang terasa indah. Jika si dia tak ingin mendekat dengan Allah, jangan putus asa, kita terus berbuat baik kepadanya, insyaAllah mudah-mudahan usaha kita menjadi sebab untuk dia mendapat hidayah Allah.

Jika ingin cinta kekal, cintailah Allah Yang Maha Kekal. CintaNya Tak pernah hilang.

Jika mencintai benda dan orang, tetapi tidak belajar mencintai Tuhan Pemberi Kehidupan... Selamanya tidak bertemu kebahagiaan ♥

Cinta tidak diikat dengan harta, tetapi dengan kekayaan Allah Yang Maha Memberi.

"...DIAlah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana."
(Surah al-Anfaal ayat 62-63)

Kadang tertanya, kenapa kita tidak miliki cinta?

Bersedihlah namun bangkitlah usahakan sebuah keimanan. Kerana Allah pasti berikan cinta pada hamba yang beriman. Luaskan erti cinta pada insan sekeliling- ibu ayah, keluarga, teman-teman dan orang-orang soleh, bukan sekadar lelaki atau wanita yang di damba.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang."
(Surah Maryam ayat 96)

Ayuh berkongsi cinta, sebarkan bahagia dengan setia mencintai Tuhan!

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/4863-cinta-yang-teristimewa.html