AHLAN WASAHLAN

Saturday, 21 July 2012

Ramadhan Tiba Lagi..

Ramadhan kali ini menyapa lagi, saban tahun apabila tibanya Ramadhan maka menjadi kewajipan bagi umat Islam berpuasa. Erti puasa dari segi bahasa ditakrifkan sebagai menahan diri, manakala dari segi istilah menahan diri dari makan dan minum, serta melakukan maksiat bermula dari terbitnya fajar sehinggan terbenamnya matahari.

Semuanya pasti sudah mengetahui akan erti puasa tersebut, tetapi tidak cukup sekadar mengetahui erti sahaja, tanpa juga mengetahui mengapa umat islam diwajibkan berpuasa, serta kelebihan dan fadhilat bulan Ramadan.
Mengapa perlu berpuasa?
Kenapa umat Islam perlu berpuasa setiap kali tibanya Ramadan? Persoalan ini selalunya bermain di minda kita. Lebih-lebih lagi ketika umur masih di peringkat kanak-kanak. Banyak persoalan tentang puasa terkumpul di minda. Jika dilihat puasa bagi agama yang lain hanya dilakukan pada waktu malam, tetapi mengapa islam dilakukan pada waktu siang? Jika agama lain berpuasa hanya tidak boleh makan benda yang berdarah dan hanya memakan sayur sahaja, tetapi mengapa  islam tidak pula boleh makan kesemuanya? Hattakan minum air pun tidak boleh. Jikalau begitu di mana pula dikatakan islam itu agama yang mudah?.
Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna. Tiada kurangnya walau sedikitpun. Segala persoalan tentang ibadah, muamalat, kehidupan semuanya terjawab di dalam buku panduan pertama, kitab Al-quran yang mulia. Allah SWT telah berfirman: -
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" - (Surah Al-Baqarah ayat 183)
Jelaslah menunjukkan bahawa Allah mewajibkan umat islam berpuasa dengan menujukan ayat tersebut khusus kepada orang-orang yang beriman. Maka, siapa lagi kalau bukan kita sebagai umat islam, yang menyakini Allah sebagai Ilah dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul-Nya. Dengan berpuasa, bererti kita telah menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, yang mana salah satu dari rukun Islam itu sendiri adalah dengan menunaikan puasa di bulan Ramadan.
Sesungguhnya puasa ini telah difardhukan sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW lagi. Ianya telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Ini dijelaskan di dalam Al-Quran sepertimana yang terkandung di dalam ayat di atas.  Antaranya perintah melaksanakan puasa bagi umat Nabi Musa dan Nabi Isa sepertimana yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubiy di dalam kitabnya[i]
Puasa yang dijalankan oleh Nabi Musa dan umatnya jauh lebih berat daripada puasa nabi Muhammad SAW dan umatnya. Mereka diwajibkan berpuasa selama 40 hari 40 malam. Dalam Kitab Perjanjian Lama, puasa Nabi Musa merupakan orang yang mula-mula berpuasa bagi umat Nabi Isa kerana jenis puasanya juga sama. Bahkan, Nabi Musa berpuasa di Gunung Sinai ketika mendapatkan perintah ALLAH SWT.
Manakala menurut tafsiran Al-Qurtubiy sepertimana di dalam kitabnya mentafsirkan ayat ini adalah pensyari'atan puasa selama sebulan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa 'Alahumassalam. Tetapi  umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah dengan menambah sepuluh hari, kemudian mereka menambahnya lagi selama sepuluh hari sebagai tanda membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit. Maka menjadilah puasa orang-orang Nasrani kepada lima puluh hari.
Selain itu, ianya juga telah dilakukan oleh Nabi Daud a.s sendiri di mana baginda menunaikan puasa dengan berselang-seli sepertimana diriwayatkan daripada Abdullah ibn 'Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-
"Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula".
(Hadis riwayat Muslim)
Puasa juga merupakan satu tarbiah menguji keimanan kita kepada Allah SWT agar menjadi seorang yang bertaqwa. Dengan berpuasa dapat melatih diri kita menjadi seorang yang sabar dalam menahan diri khususnya dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. Justeru dengan meninggalkan kemungkaran diiringi dengan melakukan ibadah wajib dan menggandakan amalan-amalan sunat dapat meningkatkan iman dan ketaqwaan kepada Allah SWT. 

Kelebihan Di Bulan Ramadan
Bulan Ramadan diibaratkan sebuah madrasah. Didalamnya penuh dengan tarbiyah dan ibadah. Saat itulah seluruh umat Islam berlumba-lumba mendapatkan kelebihan yang ada padanya. Bahkan ada juga yang mengibaratkan bulan Ramadan umpama sebuah karnival. Karnival ibadah!
Di antara keistimewaan dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadan antaranya Allah SWT meningkatkan ganjaran pahala bagi mereka yang melakukan amal ibadat kepada-NYA. Padanya juga turunnya Al-quran serta terjadinya malam Lailatul Qadar dan dicatatkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu 10 terakhir di bulan Ramadan.
Firman Allah yang bermaksud :-
"Bulan Ramadhan (ialah bulan yang sungguh mulia lagi berkat), yang padanya diturunkan Al-Qur'an .. ".
(Surah Al-Baqarah ayat 185)
FirmanNya lagi :-
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.".
(Surah Al-Qadr ayat 3)
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :-
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah. Tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.".
(Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai)
Selain itu, pada bulan Ramadan syaitan dibelenggu sementara pintu nereka di tutup serapat-rapatnya manakala pintu syurga di buka seluas-luasnya sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:-
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:-
"Apabila masuk bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya)".
(Hadis riwayat Sahih Bukhari)
Dengan berpuasa juga, memberi kesihatan kepada badan kita di mana keseimbangan badan akan terkawal. Sistem urat saraf di dalam tubuh badan kita akan dapat berehat seketika dari melakukan kerja penghadaman makanan yang tanpa henti. Apabila ianya mendapat kerehatan menyebabkan perairan darah dan sistem urat saraf berfungsi dengan baik dan berjalan lancar.  Analoginya, sebuah mesin akan mudah rosak apabila sering digunakan tanpa henti. Begitu jugala sistem penghadaman di dalam badan kita.
Persediaan Menghadapi Ramadan
Pertamanya niat kita perlu diperbetulkan dahulu, kerana dalam menghadapi Ramadan kali ini seharusnya nawaitu kita semata-mata kerana Allah SWT, bukan melakukan untuk menunjuk-nujuk serta melakukannya asbab dipaksa oleh sesiapa. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT agar menjadikan Ramadan ini sebagai satu peluang untuk kita mengisi sepenuhnya makanan kerohanian di dalam diri kita dalam meraihkan seruan Allah SWT, "fastabiqul khairat" yang bermaksud "Maka berlumba-lumbalah kamu di dalam mengerjakan kebaikan.
Berazam untuk meningkatkan amal ibadat juga adalah penting. Bukan hanya berniat semata-mata tetapi perlulah diiringi dengan azam dan perlulah dibuktikan dengan tindakan.  Sesungguhnya dengan adanya keazaman dapat melahirkan semangat untuk kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal ibadah kepada Allah SWT.
Kesihatan tubuh badan, juga perlu di ambil kira samada kesihatan pada fizikal mahupun mental. Jika menghadapi Ramadan dalam keadaan diri kurang sihat ianya menyukarkan usaha kita untuk melakukan ibadah puasa. Perlu dijaga kesihatan agar Ramadan dapat dinikmati dengan penuh kesempurnaan dan keselesaan untuk menunaikan amal ibadat.
Bersederhana dalam semua perkara. Kesederhanaan menghadapi Ramadan adalah amat dituntut dalam Islam agar terhindar daripada sifat yang berlebih-lebihan dan pembaziran. Sebagai contoh, selalunya kita terlupa apabila tiba waktu berbuka puasa, juadah lauk pauk terlalu banyak jenis aneka yang tersedia, sedangkan tidak semua makanan dapat dihabiskan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.
Perkara ini tidak boleh dinafikan sama sekali, apatah lagi untuk menidakkannya. Kerana secara umumnya jika masyarakat di Malaysia, selalunya apabila pergi ke bazar Ramadan sentiasa akan rambang mata melihat kepelbagaian jenis masakkan juadah berbuka. Sehingga diborongnya terlalu banyak melebihi keperluan. Bahkan paling menyedihkan, ada makanan yang menjadi sisa buangan pada keesokan harinya. Basi tanpa sempat dihabiskan pada malamnya lantaran terlalu banyak juadah yang telah menjadi santapan.
Firman Allah SWT yang berbunyi :-
"إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا"
"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara Syaitan, sedangkan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya" - (Surah Al- Isra' ayat 27).
Sesungguhnya Allah SWT menyerupakan seseorang yang membazir itu dengan menjadi saudara syaitan. Pepatah melayu juga menyatakan, "melebihi ancak-ancak, mengurangi sia-sia" ertinya dalam melakukan sesuatu perkara hendaklah ia bersederhana supaya selamat. Ancak-ancak pula bererti tidak peduli baik buruknya. Justeru, kesederhanaan (wasatiah) itu penting dalam menghadapi Ramadan kali ini agar dapat mengawal nafsu dalam diri. 

Ramadan Telah Tiba
Terasa keharuman Ramadan kali ini. Semoga peluang yang Allah berikan ini dapat akan digunakan sebaiknya.  Sama-sama kita renungi Ramadan yang lalu bagaimanakah persiapan kita? Adakah Ramadan kali ini persiapan kita serupa ataupun berbeza?
 Jangan difikirkan apa yang hendak di makan saat berbuka? Tetapi fikirkan apa yang mahu dilakukan ibadah apa yang akan ditunaikan. Amalan apa yang akan digandakan? Bulan yang penuh dengan kelebihan serta bulan keampunan, adakah bakal kita hadapi dengan gelak tawa dan beranggapan ianya serupa hari-hari biasa? Tepuk dada tanyalah iman!
Sebagai hamba yang beriman, tanamkanlah azam agar kedatangan Ramadan kali ini lebih bermakna dari Ramadan sebelumnya. Lebih indah dari Ramadan yang lalu dan membawa momentum perubahan yang besar pada diri. Memberi natijah yang hasanah pada jiwa kita dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan ianya menjadi latihan transformasi dalam diri, serta tetap istiqamah dalam menghadapi mujahadatun nafs agar amalan yang dilakukan secara berlipat ganda di bulan Ramadan akan diteruskan pada  bulan-bulan yang lain. Tidak semata-mata hanya dilakukan pada bulan Ramadan sahaja. 

Saturday, 7 July 2012

Perlihatkan Kesan Nikmat Itu.!!


Apa yang ada didalam hati dan fikiran akan terserlah melalui lisan, penampilan dan perbuatan. Jika hati dan fikiran baik, maka baiklah segala-galanya, dan begitulah juga jika sebaliknya.


Justeru, Saiyidina Uthman Bin Affan, seorang sahabat yang utama telah menegaskan, " Tidaklah seseorang merahsiakan sesuatu kecuali Allah akan mengungkapkan melalui raut wajah dan lisannya ".


Maksudnya, air muka dan perkataan kita adalah cerminan apa yang ada di dalam hati kita.
Jika iman yang tersemat di dalam dada kukuh, maka indahlah wajah. Jika ilmu yang terpasak di dalam minda mantap, maka lancar dan sopan jualah pertuturan. Imam Ibnul Jauzi berkata,"Para salafussoleh menilai seorang hamba yang soleh itu dari penampilan dan sikapnya, bukan kerana ilmunya. Ini kerana buah daripada ilmu yang benar ialah penampilan dan sikap yang baik."
Islam sangat mementingkan nilai estetika. Kamal (sempurna), Jalal (keagungan) dan Jamal (keindahan) adalah antara sifat-sifat kebesaran Allah. Kita sebagai hambaNya, mesti berusaha agar sifat-sifat kebesaran itu diyakini bukan sahaja oleh diri sendiri tetapi juga oleh orang lain. Bagaimanakah caranya?
Paparkanlah kesan nikmat dari Allah yang Maha Agung itu melalui diri kita. Tampilkanlah karakter atau keperibadian yang cantik, indah dan kemas menggunakan seluruh nikmat Allah yang telah diberikannya kepada diri kita. Jadikanlah diri kita sebagai bukti keindahan ciptaan Allah. Semoga dengan itu diri kita dan manusia lain akan merasai betapa Pencipta itu jauh lebih indah daripada segala ciptaan-Nya.
Langkah inilah yang selalu diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Auf bin Malik menceritakan, "Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW dengan berpakaian yang sudah lama dan lusuh." Rasulullah SAW bertanya, "Adakah kamu mempunyai harta?" Aku menjawab, "Ya". Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi,"Dari mana sumber harta yang kau miliki itu?" Aku menjawab,"Allah memberikan pada ku melalui unta, kambing, keldai dan tepung." Lantas Rasulullah SAW berkata, " Jika engkau telah diberi harta oleh Allah, perlihatkanlah kesan nikmat Allah dan kemuliaan yang telah Allah berikan itu kepada mu."
Dalam konteks yang sama pernah Rasulullah SAW melihat seorang pemuda yang kusut dan rambutnya pun tidak terurus, lalu baginda bersabda,"Apakah orang ini tidak mempunyai sesuatu yang membolehkannya merapikan rambutnya?" Rasulullah SAW juga pernah melihat seorang sahabatnya mengenakan pakaian yang kotor, lantas baginda menegur,"Apakah orang ini tidak memiliki air untuk mencuci pakaiannya?"
Ternyata Rasulullah SAW adalah orang yang paling menjaga penampilannya. Bersih, kemas dan cantik adalah citra diri yang sentiasa sinonim dengan Rasulullah SAW. Baginda adalah "Al Quran hidup" yang begitu indah bila dilihat, apalagi bagi yang bergaul bersamanya. Dari Jabir bin Samrah  RA, diriwayatkan,"Aku melihat SAW pada suatu malam terang bulan, aku melihat antara Rasulullah SAW dan bulan." Jabir menyambung." Ternyata Rasulullah SAW bagi ku lebih indah daripada rembulan."
Untuk tampil indah tidak semestinya dengan kekayaan tetapi cukup dengan kebersihan dan kekemasan. Ertinya, sikaya dan simiskin mampu untuk tampil indah, kemas dan memikat. Bukan untuk berbangga tetapi sebagai kaedah untuk membuktikan betapa besarnya kesan nikmat Allah kepada kita. Juga sebagai manifestasi keindahan Islam yang kita anuti dan perjuangkan. Bukan diri kita yang hendak dibesarkan, tetapi kebesaran Alah dan keindahan Islam.
Itulah juga tradisi dan 'life-style' para Salafus soleh. Imam Ahmad Ibnu Hanbal rhm misalnya, terkenal dengan penampilannya yang kemas dan indah walaupun beliau bukan seorang yang kaya. Beliau adalah seorang anak yatim dan berasal daripada keluarga yang miskin. Bukan sahaja ketinggian ilmu dan keindahannya yang memikat, bahkan penampilan fizikalnya turut menyejukkan hati.
Tentang penampilan Imam Ahmad bin Hanbal itu, seorang sahabat karibnya Al Maimuni telah berkata,"Aku tidak pernah melihat ada seseorang yang memakai pakaian lebih bersih dari Imam Ahmad rhm. Belum pernah aku melihat ada orang yang merapikan janggut dan rambutnya hingga kacak badannya melebihi Imam Ahmad rhm. Bahkan aku belum pernah melihat baju yang lebih putih seperti  yang dipakai oleh Imam Ahmad."
Inilah jalan yang ditempuh oleh para Salafus soleh untuk meneladani jalan Rasulullah saw dan inilah juga jalan kita. Hiasilah diri kita agar sentiasa tampil anggun dan menawan. Ingat, wajah, lisan, pakaian dan luaran kita adalah terjemahan apa yang ada di dalam hati kita!

Monday, 2 July 2012

Tutup Atau Balut.?



Sabda Rasulullah s.a.w b yang bermaksud : “Apabila seorang wanita itu menjaga maruahnya, menunaikan solat lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, dan mentaati suami, maka Allah permudahkan jalannya untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang diinginkannya” –Riwayat Ahmad-

Wanita adalah kaum yang amat dilindungi dalam Islam dan wanita amat istimewa dalam agama Islam itu sendiri. Martabat dan maruah wanita amat dititikberatkan sehingga mendapat keutamaan berganda sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya mengenai manusia yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu."
Itu merupakan satu bukti bahawa wanita adalah golongan yang diangkat nilainya dalam Islam berbanding lelaki. Bukan bermakna golongan lelaki tidak mempunyai kepentingan dalam Islam, tetapi wanita umpama permata yang sangat bernilai yang mana wanita juga sering disebut sebagai perhiasan dunia. Namun, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Maka, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyeru golongan wanita untuk menjaga peribadi dan menjadikan keperibadian itu sebagai landasan kehidupan dunia.
Wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan kerana itu boleh menjadi seorang isteri, kekasih, dan teman kepada suami serta menjadi ibu dan rakan kepada anak-anak. Apabila suami menjadi ketua bagi keluarga, si isteri pula akan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga di samping sentiasa berada di sisi suami sebagai penyokong paling kuat. Wanita sebagai satu ciptaan Yang Maha Esa yang dikurniakan sikap lemah-lembut namun sebaliknya, wanita boleh berperanan sehingga mampu untuk menggoncang dunia.

Penulis yakin bahawa para pembaca mengetahui akan kisah Yasir dan Sumayyah dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Perjalanan hidup pasangan suami isteri ini telah banyak digarap dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai bahan bacaan mahupun sebagai kisah animasi yang menggambarkan suasana kehidupan Islam pada zaman mereka. Mereka rela berkorban nyawa demi mempertahankan agama Islam sehingga dijanjikan tempat di syurga Allah kelak. Malah, Sumayyah turut digelar sebagai wanita yang mampu menggoncang dunia dengan pengorbanan yang telah beliau lakukan meski pun terpaksa menyaksikan kematian suami dan anak di hadapan mata.
Wanita sedemikianlah yang perlu dijadikan contoh dan idola dalam kehidupan. Andai sahaja ingin menjadikan wanita-wanita terkenal dunia sebagai sumber refleksi diri, haruslah tidak melampaui batas kehidupan. Aspek keperibadian perlulah menjadi keutamaan kerana aspek ini merupakan cerminan keseluruhan setiap individu. Meski cantik menawan, andai aspek keperibadian diabaikan maka kecantikan itu tidak mempunyai nilai yang baik.
Seharusnya idola bagi setiap individu muslim haruslah daripada masyarakat Islam itu sendiri. Andai lelaki, haruslah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Demikialah seorang wanita muslim, maka adalah tidak wajar jika beliau sendiri kurang mengaplikasikan ajaran serta cara hidup seorang muslimah dalam kehidupan.
Apabila diajukan persoalan mengenai kewajipan menutup aurat, sesetengah wanita muslim bijak mengeluarkan hujah masing-masing. Namun, hujah semata-mata tidak akan memberi makna jika diri sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh,seorang wanita akan memberi alasan bahawa seru belum sampai untuk dirinya memakai tudung dan akan dihujahkan juga bahawa tidak wujud prinsip paksaan dalam Islam. Bagaimana pula jika seru kematian terlebih dahulu memanggil diri sebelum seru untuk menutup aurat itu menjengah?
Menutup  aurat juga tidak semestinya memakai tudung, waima memakai selimut yang melindungi dan menutup bahagian tubuh yang wajib ditutup juga sudah di anggap menutup aurat dengan sempurna. Segelintir wanita muslim juga memberikan alasan tidak tahu untuk menggayakan tudung apabila ditanya mengapa mereka tidak menutup aurat (rambut) sedangkan Islam tidak menggariskan sebarang syarat untuk menggayakan tudung melainkan syarat bahawa tudung yang dipakai mestilah menutup bahagian dada dan tidak terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk leher.
Kini, terdapat wanita yang memakai tudung tetapi bahagian tubuh yang lain dibiar terdedah. Sebagai contoh, tudung yang dipakai diangkat tinggi sehingga menampakkan dada agar kelihatan seksi dan menggoda serta kain yang terbelah sehingga menampakkan betis dan peha. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka""
 (Surah An-nur ayat 31)
Justeru, pemakaian tudung sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam yang telah menggariskan panduan penutupan aurat yang hanya boleh memperlihatkan telapak tangan dan wajah bagi wanita.
Akhir-akhir ini, ramai juga yang berpakaian 'membungkus aurat' dan bukannya menutup aurat. Ini kerana ramai wanita muslimah memakai pakaian yang menutup aurat tetapi mengikut bentuk badan seperti jeans dan blouse yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Pemakaian handsock dengan  T-shirt berlengan pendek juga telah menjadi satu trend dalam kalangan wanita muslim. Inilah yang dikatakan sebagai membungkus aurat walau pada zahirnya aurat itu sudah dihalang daripada pandangan para ajnabi.
Dalil lain yang menunjukkan bahawa hanya bahagian wajah dan tapak tangan sahaja yang boleh didedahkan kepada golongan ajnabi seorang muslimah ialah sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya.Rasulullah s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda yang bermaksud,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya"
 (Hadis riwayat Abu Dawud)
Pemakaian tudung yang tidak menepati syarak sememangnya sangat ditegah dalam Islam dan Allah menyediakan hukuman untuk setiap daripadanya. Bagi pakaian yang mendedahkan dada, wanita itu akan digantung di atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka. Manakala paha dan betis yang sengaja didedahkan itu pula akan menjadi daging panggang dan dibakar api neraka. Astaghfirullah... pedihnya tidak tergambar.
Hari ini kita melihat wanita dijadikan sebagai cagaran utama dalam perkembangan pelbagai bidang yang majoritinya tidak bermodalkan faedah dan manfaat kepada wanita itu sendiri. Dalam pembangunan industry seni tanahair seperti perfileman dan nyanyian contohnya, wanita dijadikan sebagai tarikan utama dengan penampilan yang mendedahkan aurat yang seharusnya hanya didedahkan kepada individu tertentu sahaja seperti ibu bapa, suami, anak-anak serta adik-beradik.
Bukan sahaja berpenampilan tidak sopan, sesetengah filem juga menjadikan wanita sebagai pelakon bagi watak tidak bermoral seperti pelacur serta pekerja di kelab malam. Situasi sedemikian bukan sahaja boleh ditonton dalam filem-filem antarabangsa malahan filem dan drama tanahair turut memaparkan adegan-adegan tersebut. Aksi-aksi erotik, lucah dan mengghairahkan yang dipaparkan oleh para pelakon wanita contohnya, menjadi tarikan utama kepada para penonton.
Tindakan pengarah-pengarah filem bertaraf antarabangsa yang banyak mengetengahkan golongan wanita sebagai tarikan dalam garapan filem mahupun drama mereka kini telah menjadi ikutan kepada beberapa penggiat seni perfileman tanahair. Malah, ada antara filem-filem tempatan yang memaparkan aksi-aksi ranjang antara pelakon wanita dan lelaki dan kedua-duanya diketahui umum sebagai Muslim. Malah para pengarah serta krew-krew yang terlibat majoritinya adalah beragama Islam. Astaghfirullah al-'azim, di manakah kesedaran mereka akan dosa dan pahala? Apakah mereka menganggap dosa dan pahala itu sebagai perkara kedua selepas ganjaran wang ringgit dan populariti?

Ringkasnya, seorang wanita harus mengetahui akan nilai dan kepentingan hak serta maruah mereka lebih-lebih lagi jika bergelar wanita muslim. Islam itu tidak seharusnya digunakan pada nama. Islam itu agama yang indah dan Islam juga merupakan suatu cara hidup yang menjanjikan ketenangan jiwa andai betul caranya. Asas kehidupan muslim adalah perkara utama yang perlu diambil kira kerana setiap sesuatu itu ada permulaannya. Asas keimanan, akidah, akhlak dan muamalat adalah antara perkara yang tidak seharusnya di pandang remeh oleh setiap individu muslim. Asas-asas inilah yang akan membina jati diri mulia dan bernilai tinggi dalam sebuah kehidupan sebagai individu muslim.

Ada apa dengan Sya'ban.?



Kurang sebulan lagi kita akan menyambut Ramadhan yang diberkati. Sekarang, kita berada dibulan sya'ban yang mulia.
Bulan Syaaban merupakan bulan yg kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sollallahualaihiwasallam sendiri apabila ditanya tentang sebab baginda terlalu banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Lalu baginda menjawab,
"Ini adalah bulan yg manusia leka terhadapnya di antara bulan Rejab dan Syaaban. Ia ialah bulan yg diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa."
Umat Islam seolah-olah akan menyedari kedatangan Syaaban apabila telah sampai ke pertengahan bulan. Apabila diadakan majlis sempena Nisfu Syaaban, barulah umat Islam terjaga daripada lamunan mereka. Rupanya mereka telah berada di dalam bulan yg juga dinamakan 'Bulan Al-Qurra'' ini.
Cuaca panas terik di sini benar-benar mencabar kehambaan seseorang untuk berpuasa pada bulan mulia ini. Bahkan mungkin puasanya menyebabkannya terhalang daripada terus menuntut ilmu kerana keletihan. Maka, ulama mengajar supaya tinggalkan puasa sunat dan teruskan menuntut ilmu! Imam 4 mazhab telah menyatakan bahawa menuntut ilmu lebih afdhal daripada solat sunat, dan solat sunat pula lebih afdhal daripada puasa sunat. Maka, menuntut ilmu terlebih afdhal daripada puasa sunat. Namun andainya kalian dapat melaksanakan semuanya, maka beruntunglah kalian!
Ibnu Sirin berkata,
"Sesungguhnya ada kelompok manusia yg meninggalkan ilmu dan berada di mihrab-mhrab maka mereka solat dan berpuasa tanpa ilmu. Demi Allah, tidaklah seseorang itu beramal tanpa ilmu melainkan apa yg dia rosakkan lebih banyak daripada yg dia perbaiki."
Puasa nabi pada bulan Syaaban berbeza dengan puasa-puasa baginda pada bulan lain. Sayyidatuna 'Aisyah Radiyallahuanha berkata bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Sollallahualaihiwasallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Dan beliau tidak pernah melihat baginda berpuasa paling banyak melebihi puasanya pada bulan Syaaban. Hadith ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Sekumpulan ulama di antaranya Ibnul Mubarak mentarjihkan bahawa baginda tidak berpuasa penuh pada bulan Syaaban, tetapi baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan itu. Pendapat ini dikuatkan dengan hadith-hadith yg lain.

:: Solat khusus pada malam Nisfu Syaaban?
Hakikatnya, tidak pernah wujud solat khusus pada malam nisfu Syaaban walaupun ia pernah disebut dalam kitab-kitab seperti Qut Al-Qulub dan Ihya'.Imam Al-Kauthari menyatakan bahawa Al-Muhaddith Abd Hayy Al-Laknawi telah menjelaskan kebatilan riwayat ini di dalam Al-Athar Al-Marfu'ah fil Akhbar Al-Maudhu'ah'.
:: Puasa bulan-bulan haramkah atau puasa Syaaban yg lebih afdhal?
Terdapat ulama Syafieyyah dan selain mereka berpendapat puasa bulan-bulan haram lebih afdhal berdasarkan hadith,
"Puasa yg paling afdhal selepas puasa bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan haram."
Sebahagian yg lain berpendapat puasa Syaaban lebih afdhal. Dalil mereka ialah Hadith Anas yg diriwayatkan oleh Imam Tirmizi,
"Nabi ditanya tentang puasa apakah yg paling afdhal selepas Ramadan? Nabi menjawab: Syaaban kerana mengagungkan Ramadhan."
Tetapi pada sanad hadith ini terdapat pertikaian.
Dalam Sunan Ibn Majah terdapat hadith yg disokong kekuatannya bahawa Usamah berpuasa pada bulan-bulan haram. Maka Rasulullah memberitahunya, "Puasalah Syawal". Maka Usamah meninggalkan puasa bulan haram dan berpuasa Syawal sehingga meninggal dunia. Maka inilah nas yg menunjukkan kelebihan puasa Syawal terhadap puasa bulan-bulan haram. Tetapi Rasulullah lebih banyak berpuasa Syaaban berbanding Syawal. Maka, puasa Syaaban terlebih afdhal berbanding bulan haram.
:: Kelebihan puasa Syaaban
Puasa Syaaban kadang-kadang dipandang remeh, Akan tetapi kelebihannya amat banyak. Antaranya:
1-Berdasarkan hadith, Syaaban ialah bulan yg manusia terleka akannya. Dalam hadith ini juga mengisyaratkan bahawa sebahagian ibadat yg masyhur kelebihannya kadang-kadang kurang afdhal berbanding selainnya. Maka manusia menyibukkan diri kerana masyhurnya kelebihan sesuatu lalu mereka terluput kelebihan yg lebih besar tetapi kurang kemasyhurannya.
Ulama menyatakan bahawa ibadat yg afdhal ialah ibadat dalam keadaan tersembunyi dan saat manusia sedang lalai daripada ketaatan. Oleh kerana itu, sekumpulan salaf gemar mengisi waktu di antara Maghrib dan Isya dengan solat. Mereka mengatakan waktu itu ialah waktu ghaflah (lalai). Begitu juga dengan kelebihan solat di tengah malam kerana saat itu ialah saat manusia sedang berada dalam kelalaian sepenuhnya daripada mengingati Allah.
Begitu juga dengan kelebihan zikir di pasar sebagaimana yg warid di dalam hadith dan athar. Ini ialah kerana lokasi itu ialah lokasi manusia leka daripada mengingati Allah.
Ibadat secara tersembunyi amat afdhal terutama ibadat puasa kerana puasa merupakan ibadat rahsia di antara hamba dan tuhannya.
Ada seorang ulama salaf yg berpuasa selama 40 tahun tanpa diketahui oleh seorang pun ketika itu. Beliau keluar dari rumahnya menuju ke pasar dengan membawa 2 keping roti. Lalu beliau pun menyedekahkan roti tersebut dan terus berpuasa. Maka ahli keluarga beliau menyangkanya telah makan roti yg dibawa ke pasar.. Manakala orang di pasar pula menyangkanya telah makan di rumahnya.

2-Puasa Syaaban lebih berat kerana persekitaran yg tidak membantu. Kurangnya manusia berpuasa pada bulan ini menyebabkan orang lain liat untuk berpuasa kerana jiwa manusia biasa terpengaruh dengan persekitaran. Akan tetapi hakikatnya, ibadat dalam keadaan berasa berat lebih afdhal.
Oleh kerana itu Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda,
"Orang yg beramal daripada kalangan mereka mendapat 50 pahala orang yg beramal di kalangan kamu. Sesungguhnya kamu mempunyai pendorong ke arah kebaikan manakala mereka tidak mempunyainya."
[ Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah. ]
"Islam itu bermula dalam keadaan ganjil dan akan kembali ganjil sebagaimana ia bermula maka beruntunglah bagi orang-orang yg ganjil."
[ Hadith riwayat Muslim ]
Dalam riwayat lain, dikatakan, "Siapakan orang-orang yg ganjil itu?" Maka Rasulullah bersabda, "Orang-orang yg melakukan kebaikan ketika manusia telah rosak."
"Beribadat dalam keadaan fitnah seperti berhijrah kepadaku"
[ Hadith riwayat Imam Ahmad ]
3-Orang yg melakukan ketaatan dalam keadaan orang lain meninggalkannya kadang-kadang boleh menghindarkan bala. (Dengan syarat orang tersebut melakukan amar maaruf nahi munkar). Maka orang yg berpuasa Syaaban seolah-olah mampu menahan daripada daripada diturunkan bala. Sebahagian salaf berkata, "Orang yg mengingati Allah yg berada dalam kelompok orang lalai seumpama orang yg mempertahankan pasukan yg sedang dikalahkan. Kalaulah tidak kerana orang yg mengingati Allah dalam keadaan kelalaian manusia itu, nescaya sesungguhnya akan binasalah manusia itu."
4-Puasa Syaaban ibarat tamrin atau latihan untuk menghadapi puasa Ramadhan. Mudaha-mudahan manusia tidak masuk ke medan Ramadhan dalam keadaan lemah longlai. Mudah-mudahan juga kita telah merasai kelazatan dan kemanisan puasa lalu memasuki Ramadhan dalam keadaan cergas dan bersemangat.
Oleh kerana Syaaban itu umpama mukaddimah kepada Ramadhan, maka amatlah bagus jika amalan ketika Ramadhan telah dimulakan sejak mukaddimahnya . Sebahagian ulama menamakan bulan Syaaban dengan nama Syahrul Qurra' iaitu bulan orang-orang yg membaca Al-Quran. Al-Hasan bin Sahl berkata, Bulan Syaaban berkata-kata, "Wahai Tuhanku, Kau telah menjadikanku di antara 2 bulan yg agung (Rejab dan Ramadhan), maka apakah yg terdapat padaku?" Maka dijawab, "Aku jadikan padamu terdapat bacaan Al-Quran."
Puasa pada siang hari nisfu Syaaban sunat kerana ia termasuk dalam keumuman sunat puasa Syaaban dan juga termasuk hari-hari putih yg memang disunatkan puasa pada setiap bulan iaitu setiap 13, 14 dan 15 haribulan.
:: Hadith-hadith kelebihan malam nisfu Syaaban
Terdapat banyak hadith yg menyatakan kelebihan malam nisfu Syaaban. Terdapat ulama yg menghukum dhaif terhadap hadith-hadith tersebut. Manakala sebahagian yg lain mentashihkannya. Antaranya Ibnu Hibban yg mentashihkan sebahagian hadith tersebut lalu meletakkannya di dalam kitab Sohihnya. Hayatilah sebuah hadith riwayat Abdullah bin 'Amru, Rasulullah Sollallahualaihiwasallam bersabda,
"Sesungguhnya Allah memandang kepada makhlukNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan hamba-hambaNya kecuali dua iaitu orang yg berdendam dan yg membunuh."
[ Hadith Riwayat Imam Ahmad. ]
"Sesungguhnya Allah memandang kepada makhlukNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampunkan hamba-hambaNya kecuali dua iaitu orang yg berdendam dan yg membunuh." Riwayat Ahmad.
Andainya sejumlah hadith ini dhaif sekalipun, maka ia masih boleh digunakan untuk fadhail amal selagimana ia tidak maudhu' atau dhaid jiddan.

:: Khilaf ulama dalam mengagungkan malam nisfu Syaaban
"Ini adalah bulan yg manusia leka terhadapnya di antara bulan Rejab dan Syaaban. Ia ialah bulan yg diangkat amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa."

Ulama Tabi'en daripada kalangan Ahli Syam seperti Makhul dan Luqman bin 'Amir mengagungkannya dan bersungguh-sungguh beribadat pada malam itu.

Kebanyakan Ulama Hijaz pula mengingkarinya. Antaranya ialah 'Atho' dan Ibnu Abi Mulaikah. Pendapat ini juga dinakalkan oleh Abd Rahman bin Zaid bin Aslam daripada Fuqoha' Ahli Madinah iaitu pendapat Ashab Malik dan selain mereka. Mereka berkata: Itu semuanya bidaah.

Ulama Ahli Syam yg berpendapat mengagungkan malam nisfu Syaaban berselisih pula mengenai cara menghidupkan malam tersebut.

 Pendapat pertama: Disunatkan menghidupkannya secara berjemaah di masjid-masjid. Sebahagian ulama Ahli Syam antaranya ulama Tabi'en, Luqman bin 'Amir akan memakai pakaian yg paling bagus, membakar bukhur, bercelak dan menghidupkan malam nisfu Syaaban di masjid.

 Pendapat ini juga dipegang oleh Ishak bin Ruhawaih dan berkata, "Melakukan secara berjemaah di masjid-masjid, tidaklah perkara itu bidaah."

Pendapat kedua: Makruh berhimpun pada malam itu di masjid untuk solat dan berdoa. Dan tidak makruh seseorang melakukannya khas untuk dirinya sendiri. Dan ini pendapat Imam Ahli Syam, Al-Auzai'e. Imam Ibn Rejab Al-Hanbali mengulas pendapat ini dan berkata, "Dan ini lebih dekat, insya Allah Taala."
Imam Syafie berkata, "Telah sampai khabar kepada kami, bahawa doa itu dimakbulkan pada 5 malam. Malam Jumaat, dua malam hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Syaaban."
Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari pula mengatakan walaupun hadith yg warid tentang nisfu Syaaban itu lemah tapi ia mempunyai sokongan. "Maka kelebihannya tidak boleh diingkari. Begitu juga kelebihan berdoa, istighfar dan beribadah pada malam itu. Oleh kerana itu, kamu akan mendapati di dalam kitab-kitab ulama Fiqh yg menganggap bahawa menghidupkan malam nisfu Syaaban termasuk di dalam malam-malam yg disunatkan untuk menghidupkannya di sisi Syara'."
:: Kesimpulan
Setelah dilontarkan pelbagai pendapat tentang keharusan menghidupkan malam nisfu Syaaban, maka wajib bagi kita berlapang dada dengan perselisihan yg telah berlaku dan jangan terlalu mudah menghukum bidaah dan haram. Malangnya, masih wujud sekelompok manusia yg keras mempertahankan bidaahnya dan menganggap mereka yg terlibat dengan nisfu Syaaban ini sebagai pelaku bidaah dan haram sehingga membawa kepada persengketaan yg tidak berkesudahan.

"Jangan gaduh-gaduh! Kita berdamai ye!"
Bahkan setiap kali sambutan Maulid Nabi, Isra' Mikraj, Nisfu Syaaban dan seumpamanya, kita akan mendengar beberapa kalimah yg sentiasa diulang-ulang iaitu bidaah, haram, jahil hadith, taqlid buta dan yg sewaktu dengannya. Saya sengaja menyatakan pelbagai pendapat di atas untuk menunjukkan wujudnya perselisihan ini sejak zaman dahulu. Yang menariknya, mengapa perselisihan ketika itu tidak pula membawa kepada perpecahan di kalangan ummah sebagaimana yg berlaku pada hari ini?
Imam Ibnu Rejab menyatakan bahawa pada malam tersebut, hendaklah orang yg beriman mengosongkan malam itu untuk mengingati Allah, berdoa kepadaNya untuk mengampunkan segala dosa, menutup segala keburukan, menyelesaikan kesusahan dan mendahulukan taubat sebelum segala-galanya.
Rujukan:
Lathoiful Ma'arif karangan Ibnu Rejab Al-Hanbali
Maqolat Al-Kauthari, himpunan tulisan Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari

Dipetik dari : http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/4698-ada-apa-dengan-syaaban.html

Hukun Puasa,Solat dan Doa Pada Nisfu Sya'ban


Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya'ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya'ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya'ban daripada hadis-hadis (Nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya'ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina 'Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi' sambil mendongakkan kepalanya ke langit. lalu baginda berkata : Wahai 'Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata 'Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta'ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya'ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."
[Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.] 
Seterusnya,
عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu'adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda :"Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya'ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik  (yang menyekutukan Allah)  dan dosa orang yang bermusuhan." 
[Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.] 
Seterusnya,
عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina 'Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Apabila masuk malam nisfu Sya'ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta'ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian...sesiapa yang demikian ...sehinggalah terbitnya fajar." 
[Riwayat Ibnu Majah] 

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri'tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara' yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata :
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .
"Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu
samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan."
[Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.] 
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
"Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan." -tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma'arif) :
"Ulama' di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma'dan dan Luqman ibn 'Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : "Perkara tersebut tidaklah menjadi bid'ah." Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan 'Alim." -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid'ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya'ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Oleh itu, digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.

Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi

Sunday, 1 July 2012

Dr.Morsi Presiden Baru Mesir!!!



Selepas kejatuhan Presiden Mesir – Mubarak – yang memerintah Mesir hampir 30Tahun dan memerintah secara kuku besi,rakyat Mesir memerlukan perubahan dalam negara mereka sendiri.Perubahan yang mencakupi segala aspek,dan meletakkan Islam sebagai lambang perubahan mereka.

Alhamdulillah,bulan lepas menyaksikan pertembungan yang agak sengit antara calon-calon yang bertanding.Terdapat dua kumpulan yang berbeza dalam pencalonan,iaitu satu dari kumpulan Islamis,satu lagi cenderung kepada Mubarak(kuku besi).


Alhamdulillah,24 June 2012 yang lepas Dr.Morsi dari calon FJP(Fredom Justice Party) atau IM(Ikhwan Muslimin) telah 
berjaya mengatasi pesaing terdekat beliau iaitu Ahmad Syafiq dari calon Fulul(saki baki Mubarak).

Hampir 83 tahun perjuangan Imam Syahid Hassan al-Banna dalam menegakkan islam di bumi Mesir dan akhirnya sekarang membuahkan hasil selepas kemenangan Dr.Morsi dalam tampok pemerintahan di Mesir.
Sekaligus membuatkan ramai pihak terutama negara-negara Islam memberi ucap tahniah atas kejayaan pemerintahan islam di Mesir dan membuatkan musuh-musuh Islam,Israel dan Amerika merasa bahang kebangkitan Islam di Mesir.

Kemenangan Dr.Morsi merupakan salah satu dari tangga-tangga kejayaan Islam di Dunia yang mana kita sedia maklum Dunia sekarang di perintah kuat oleh Amerika.Sehinggalah kejayaan Islam ini datang bertitik tolakkan dari kejayaan ustazi’atul a’lam itu sendiri.

Dr.Morsi merupakan Presiden ke 2 di Dunia yang menghafal al-Quran sepenuhnya selepas Presiden Palestin iaitu Ismail Haneya.
Bukan beliau sahaja yang menghafal al-Quran malah semua anak-anak dan isterinya turut menghafal al-Quran.
Begitulah kehebatan dan ketokohan Presiden Mesir  yang baru Dr.Morsi yang sepatutnya pimpinan di Malaysia wajib contohi agar negara-negara islam mula bangkit bagi mengembalikan Dunia islam.

Tahniah buat warga Mesir

Tahniah buat Dr.Morsi

Tahniah buat warga Malaysia yang sentiasa ‘update’ pilihanraya mesir.


Dipetik dari : http://wahdahperkongsian.wordpress.com/2012/06/26/pilihanraya-mesir/